Malaysia Dateline

Khairy desak segerakan pemilihan Umno

Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mendesak pemilihan dalam partinya disegerakan sebagai satu-satunya cara untuk menyelesaikan kemelut yang dialami.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau tersebut menegaskan hal itu tidak harus ditunda sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Segerakan pemilihan parti. Jangan tangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum.

“Sepatutnya pemilihan diadakan tahun ini. Umno mesti menghadapi PRU dengan kepimpinan yang mempunyai mandat yang jelas dan yang boleh mendapat sokongan rakyat,” ujarnya.

Ahli Parlimen Rembau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu turut menekankan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno perlu melakukan hal yang betul.

“Lakukan perkara yang betul, Majlis Tertinggi. Anda tahu kita tidak boleh meneruskan seperti ini,” tambahnya lagi melalui menerusi Instagram Story hari ini.

Untuk rekod, pemilihan Umno perlu diadakan setiap tiga tahun. Kali terakhir parti itu mengadakan pemilihan adalah pada 30 Jun 2018.