Khairy gagal perjuangkan isu anak muda, heret sentimen perkauman

Khairy gagal perjuangkan isu anak muda, heret sentimen perkauman

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dilihat gagal memperjuangkan isu golongan muda sebaliknya lebih fokus kepada hal perkauman yang tidak membawa keuntungan kepada pembangunan negara.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata, dakwaan Khairy kononnya mengundi Amanah adalah mengundi DAP membuktikan menteri itu enggan mengakui hakikat permuafakatan antara parti pembangkang di negara ini yang melampaui garis kaum.

“Kerjasama yang erat di antara parti komponen Pakatan Harapan iaitu Keadilan dan DAP menunjukkan semangat setiakawan dan pasukan yang utuh bagi meneruskan agenda perjuangan membebaskan rakyat dan Selamatkan Malaysia.

“Rakyat Malaysia menolak sentimen perkauman yang cuba dimainkn oleh saudara Khairy dengan mengatakan undi Amanah adalah undi DAP,” ujarnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Mengulas tentang matlamat penubuhan Amanah, beliau berkata, parti berusia sembilan bulan itu bukan diwujudkan untuk membantu DAP sebaliknya bagi membawa perubahan dalam perjuangan Islam dan rakyat di negara ini.

“Amanah melihat kepada prinsip mewujudkan urus tadbir baik sebagai tuntutan Islam yang penting untuk diperjuangkan,” tegasnya.

Menurut Faiz, masa depan negara pasti gelap jika penyelewengan dan pembaziran wang negara tidak dibendung.

Pada masa sama, jelasnya, kebajikan golongan muda terus diabaikan terutama peruntukan pendidikan dan biasiswa yang dipotong oleh kerajaan.

Sehubungan itu, ujarnya, Pemuda Amanah menyeru anak muda supaya menolak sentimen perkauman dan bersama dengan Pakatan Harapan dalam agenda Selamatkan Malaysia.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau kelmarin mendakwa pemimpin Amanah enggan mengikut arahan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan memilih untuk tunduk kepada veteran DAP Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng.

Dalam ucapannya sempena program Santai Anak Muda Bersama YBKJ di Kampung Tanah Lepan di Kuala Kangsar itu juga, Khairy juga mengingatkan pengundi supaya tidak memilih calon PAS.

Hal ini, tambahnya lagi, terdapat apa yang dipanggil “agen-agen Pan” seperti Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

COMMENTS

Wordpress (0)