Khairy ikrar kembalikan roh asal dan jasad baharu Umno

Khairy ikrar kembalikan roh asal dan jasad baharu Umno

Khairy Jamaluddin menyifatkan keputusan untuk bertanding jawatan Presiden Umno kerana memikirkan masa depan dan survival Umno ketika ini.

Kerana tindakannya itu juga beliau mahu ahli-ahli parti mempunyai pilihan tentang ke arah mana Umno perlu dikemudi.

Menulis di Facebooknya, Khairy turut menghormati Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri untuk merebut jawatan presiden.

“Semangat pemilihan terbuka. Saya juga sangat hormat kepada YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Dalam Umno, beliau ibarat seorang abang kepada saya yang sentiasa membantu dan menasihati saya.

“Tengku Razaleigh adalah seorang negarawan yang berjaya mengasaskan institusi-institusi penting negara seperti Petronas dan Bank Bumiputra,” katanya..

Katanya, memandangkan pertandingan di peringkat tertinggi Umno kali ini adalah terbuka, beliau mahu para perwakilan parti diberi pelbagai pilihan sebelum mereka membuat keputusan yang dirasakan terbaik untuk Umno.

“Saya mahu perwakilan diberi satu lagi pilihan yang mewakili peralihan generasi dalam Umno. Satu pilihan yang pada prinsipnya melihat bagaimana parti kita dapat dibina semula mengikut acuan terkini tanpa melupakan asas penubuhan Umno,” tambahnya.

Beliau berikrar akan bersama-sama dengan rakan seperjuangan dalam parti agar Umno dikembalikan kepada roh asal dengan jasad yang baharu.

“Roh yang saya maksudkan adalah parti Melayu yang inklusif, dengan menunjukkan keterangkuman yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia. Parti yang membuka ruang kepada setiap lapisan masyarakat, bukan hanya golongan atasan, bangsawan, korporat dan elit sahaja.

“Parti untuk orang biasa. Parti yang menjaga kepentingan orang biasa. Parti yang tidak rasis, tidak seksis, tidak jumud dan tidak lagi pekak terhadap kehendak rakyat jelata.
“Parti yang berjiwa besar terhadap kaum-kaum lain dan mungkin satu hari nanti Barisan Nasional boleh dibina semula sebagai satu rumah besar untuk semua,”tegas.

Justeru katanya, semangat perjuangan mereka biarlah beteraskan fastabiqul khairat – berlumba-lumba untuk membuat kebaikan kepada rakyat, dan bukannya berlumba-lumba untuk jawatan, pangkat dan kekayaan.

“Jasad yang baharu bermaksud penstrukturan semula parti secara total. Umno mesti mengembalikan semangat keterbukaan dalam segala aspek. Terbuka untuk bertanding. Terbuka untuk menegur dan mengkritik pemimpin tanpa dipecat. Terbuka untuk menerima ahli-ahli baharu tanpa sekatan. Terbuka untuk para perwakilan menentukan siapa yang akan menerajui UMNO dan bebas daripada cengkaman ‘warlords’,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui dirinya penuh dengan kelemahan dan mungkin ada yang rasa beliau terlalu muda dan mentah.

“Tetapi kita berada di zaman luar biasa yang menuntut jalan yang bukan biasa. Saya hanya mahu memberi para perwakilan pilihan yang seluas-luasnya. Menang kalah di tangan perwakilan dan ketentuan Ilahi.

“Walau apapun keputusan kelak, kesetiaan saya kepada Umno tidak berbelah bagi dan saya akan menyokong siapa sahaja yang dipilih menjadi Presiden Umno yang baharu nanti. Yang penting, pemilihan ini perlu berjalan dalam semangat kekeluargaan Umno agar ia dapat menjadikan parti lebih kuat untuk mengharungi cabaran besar pada hari-hari mendatang,”katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)