Khairy jarakkan diri dari Khairul Azwan, nafi laporan polis berkait pemuda Umno

Khairy jarakkan diri dari Khairul Azwan, nafi laporan polis berkait pemuda Umno

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengambil pendirian menjarakkan diri naibnya Khairul Azwan yang membuat laporan polis terhadap tiga individu bersabit skandal 1MDB.

Serangan pelbagai pihak berkaitan rasional tindakan ini dilihat punca beliau berbuat demikian.

“Tindakan Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun membuat laporan polis berkaitan dakwaan wujudnya konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri adalah bersifat individu, bukannya pendirian kita (pemuda),” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Menurutnya, laporan itu dibuat atas kapasitinya sebagai seorang individu kerana mempunyai maklumat tertentu yang telahpun dikongsi bersama polis dalam keterangannya.

“Kita serah kepada polis untuk buat siasatan lanjut. Seperti yang Perdana Menteri sudah sebut, laporan polis yang dibuat (oleh Khairul Azwan) adalah sebagai individu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan FIT Malaysia Fasa II Johor di Stadium Batu Pahat di sini hari ini.

Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan naibnya membuat laporan polis sama ada ia adalah pendirian Pemuda UMNO ataupun persendirian.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tindakan Naib Ketua Pemuda UMNO itu adalah tindakan peribadi bukannya parti dan Khairul Azwan mempunyai hak untuk membuat laporan polis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan sebagai berkata keterangan Khairul Azwan diambil di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi semalam dan siasatan masih diteruskan berhubung perkara itu.

Selasa lepas, Khairul Azwan membuat laporan polis terhadap tiga orang yang didakwanya terbabit dalam konspirasi menggulingkan Najib dan kerajaan Malaysia.

Mereka yang dinamakannya ialah bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

TAGS