Malaysia Dateline

Khairy patut jadi peneraju hasilkan vaksin sendiri, kata AMANAH

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaludin sepatutnya menjadi peneraju bagi membolehkan Malaysia menghasilkan vaksin Covid-19 sendiri bukan setakat pandai menggunakan vaksin yang dikeluarkan oleh negara lain.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, paling kurangpun, Malaysia patut bekerjasama dengan mana-mana negara luar untuk mengeluarkan vaksin sendiri.

“Sekurang-kurangnya Khairy harus menggunakan hubungan baik yang dibina bapa mertuanya Pak Lah yang membuat hubungan baik dengan Cuba, kerana negara itu adalah salah sebuah negara dunia ketiga yang advance dalam bidang perubatan,” kata Salahuddin.

Hubungan Malaysia dengan Cuba dimulakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad namun Tun Abdullah Badawi adalah pemimpin Malaysia yang membuat hubungan baik dengan Cuba termasuk membawa doktor perubatan dari negara tersebut.

Tun Abdullah dua kali melawat Cuba iaitu pada tahun 2004 dan  2006, untuk menghadiri Sidang Kemuncak NAM manakala Presiden Cuba Raul Castro berkunjung ke Malaysia pada 2005, ketika beliau menjadi Naib Presiden pertama.

Ketika Pak Lah adalah Perdana Menteri, Khairy adalah pegawai kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Cuba dikenali sebagai negara dunia ketiga (akibat sekatan Amerika) yang sangat maju dalam bidang perubatan. Negara ini juga adalah antara negara awal yang membangunkan vaksin Covid-19 sendiri selepas Rusia.

Sebelum mengeluarkan vaksin Covid-19 yang dinamakan Soberana, Cuba adalah antara negara awal yang mengeluarkan vaksin untuk melawan wabak Ebola dan Malaria.

Khairy sebelum ini ada memaklumkan Malaysia bekerjasama dengan Imperial College, London untuk mengeluarkan vaksin.

Namun begitu, vaksin AstraZeneca yang dikeluarkan oleh United Kingdom kini digantung penggunaannya oleh 16 negara kerana masalah yang disebabkan oleh vaksin ini. Amerika juga menolak vaksin ini.

Sebelum ini, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, sudah tiba masanya Malaysia menjadi pengeluar vaksin sendiri.

Buat masa ini, katanya, negara mengimport sepenuhnya bekalan vaksin daripada syarikat antarabangsa dan pelbagai negara, dengan kos ratusan juta ringgit setiap tahun.

Sehingga ke hari ini, Malaysia masih belum mempunyai kepakaran untuk menghasilkan vaksin bagi mencegah jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).

Pakar Perubatan Keluarga Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Suhazeli Abdullah berkata, jika negara mempunyai kemajuan teknologi dan kewangan yang mantap, Malaysia mampu untuk membuat vaksin sendiri.

KEDUDUKAN VAKSIN DUNIA

Sehingga kini, Persatuan Kesihatan Dunia (WHO) tidak mengiktiraf mana-mana vaksin Covid-19 yang selamat untuk digunakan oleh pengguna.

Ia hanya dibenarkan untuk kecemasan sahaja dengan istilah sedang diuji atau dibenarkan untuk digunakan sahaja.

Ini kerana, Food and Drug Administration (FDA) Amerika memerlukan masa tiga tahun sebelum sesuatu ubat atau vaksin disahkan untuk digunakan.

Vaksin yang paling banyak digunakan di dunia sekarang adalah Sputnik V yang dikeluarkan oleh Rusia manakala Malaysia pula menggunakan Comirnaty yang dikeluarkan oleh Pfizer, Sinovac dari China dan AstraZeneca (UK).

Selain itu, vaksin Covid-19 yang ada di pasaran dunia sekarang adalah Moderna (Amerika Syarikat) yang dikira paling mahal, Janssen (Belanda), CoronaVac, BBIBP-CovV, Convidicea dan ZF2001 (China), EpiVacCorona, CoviVac (Rusia) dan Covaxin (India).

Sehingga kini Moderna, AstraZeneca dan Pfizer adalah vaksin yang paling mahal untuk penyimpanan dan penghantaran kerana ia perlu disimpan dalam ruang penyimpanan yang bersuhu antara  – 80 hingga – 60 darjah Celsius. Ia menyebabkan kedua-duanya antara yang paling mahal.

Vaksin dari Rusia, China dan Cuba hanya memerlukan petisejuk biasa untuk penyimpanan menyebabkan ia berharga paling murah.