Malaysia Dateline

Khairy perlu jelaskan apa usaha kerajaan kurangkan kematian untuk bulan Oktober

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang meminta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan apakah yang sedang dilakukan oleh kerajaan untuk menurunkan peningkatan mendadak angka kematian akibat wabak Covid-19.

Beliau berkata, September 2021 adalah bulan dengan kadar kematian tertinggi yang disaksikan dalam negara, dengan hampir 10,000 kematian.

“Menteri Kesihatan yang sudah sebulan dalam jawatan beliau, Khairy Jamaluddin, tidak boleh berlengah lagi dan perlu memberikan penjelasan mengenai perkara ini.

“Dalam 31 hari pertama beliau sebagai Menteri Kesihatan, jumlah kematian terkumpul akibat Covid-19 adalah 9,550 kematian.

“Jumlah kematian untuk Ogos dan September ini sahaja membentuk kira-kira 73 peratus jumlah kematian keseluruhan akibat Covid-19 dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Apa yang membimbangkan kata Kit Siang, kematian dalam bulan September ini adalah lebih tinggi berbanding dengan bulan Ogos.

Malah, jumlah kematian dalam dua minggu kedua Khairy menjadi Menteri Kesihatan adalah lebih tinggi berbanding dengan dua minggu pertama beliau, mengambil kira tempoh inkubasi 14 hari untuk Covid-19 walaupun varian Delta mempunyai tempoh inkubasi yang lebih pendek selama hanya empat hari.

“Khairy perlu menjelaskan, apakah yang sedang dilakukan untuk menurunkan peningkatan mendadak kematian akibat Covid-19 ini. Atau adakah kita perlu menjangkakan 10,000 lagi kematian dalam bulan Oktober?,” soalnya.