Malaysia Dateline

Khairy perlu perjelas bagaimana kerajaan mahu capai 160,000 vaksin sehari – MP DAP

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin diminta untuk menjelaskan sejauh mana kerajaan boleh mencapai 160,000 dos vaksinasi sehari bagi fasa kedua yang akan bermula 19 April ini.

Ia susulan kenyataan Khairy pada Mac lalu bahawa kerajaan menjangkakan untuk memberikan sehingga 160,000 dos vaksin sehari untuk penerima fasa kedua dan ketiga.

Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii bertanya, sama ada kerajaan mempunyai tenaga kerja yang cukup kerana peningkatan jumlah vaksin adalah sebanyak empat kali ganda berbanding fasa pertama.

“Semasa fasa satu PICK, jumlah purata vaksinasi harian kurang dari 40,000. Namun sasaran untuk fasa kedua sebanyak 160,000 sehari.

“Adakah kita mempunyai kemampuan dari segi jururawat dan doktor untuk meningkatkan jumlah ini? Walaupun dengan kemasukan klinik perubatan swasta dan hospital dalam proses vaksinasi?,” soalnya dalam satu kenyataan.

Perkara berkenaan antara 10 soalan yang dibangkitkan dua Ahli Parlimen DAP yang meminta agar kerajaan memberi penjelasan sebelum fasa kedua vaksinasi bermula.

Mereka juga bertanya apakah langkah yang telah diambil oleh Putrajaya untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi meningkatkan kadar pendaftaran vaksin.

Setahu mereka, Kerajaan Persekutuan masih belum menggerakkan usaha untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang untuk menggerakkan jentera kerajaan negeri, wakil rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) membantu pendaftaran vaksin bagi warga emas.

“Sudah tentu, kerajaan negeri dapat bergerak sendiri tanpa inisiatif kerajaan persekutuan. Tetapi memandangkan mereka memimpin program ini, ia akan sangat membantu.

“Mungkin perlu bagi kerajaan persekutuan untuk mengambil inisiatif, memberi sokongan dan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mengambil tindakan yang diperlukan untuk mendaftarkan sebanyak mungkin warga emas,” katanya lagi.

Pada masa sama, Ong dan Kelvin turut meminta Khairy memberi jaminan bahawa menteri akan mematuhi janji mereka untuk memberikan notis pemberitahuan dua minggu kepada pengambil vaksin seperti yang dinyatakan pada Mac lalu.

Ini kerana katanya, setakat hari ini menunjukkan bahawa ramai yang belum menerima pemberitahuan melalui satu atau lebih saluran yang diperkatakan menteri.

“Apakah langkah lain yang dapat digunakan untuk menghubungi mereka yang belum mengesahkan janji temu melalui aplikasi MySejahtera mereka?,” soalnya.

Selain itu, mereka juga mengutarakan beberapa soalan seperti ‘adakah senarai lokasi pusat vaksinasi telah dimuktamadkan’ dan sama ada terdapat terjemahan untuk warga emas yang mungkin tidak mahir dalam Bahasa Melayu untuk mengisi pelbagai borang bagi mendapatkan vaksin.