Khairy risau sokongan kepada Umno merosot

Khairy risau sokongan kepada Umno merosot

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilihat mulai risau dengan kemerosotan sokongan rakyat kepada parti itu ekoran pengumuman pakatan pembangkang baharu.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil berkata, dakwaan Khairy bahawa penubuhan parti baru oleh Tun Mahathir menunjukkan bekas Perdana Menteri itu tidak yakin dengan Amanah, DAP dan PKR adalah kenyataan pemimpin Umno yang mula takut dengan kebangkitan rakyat.

Menurutnya, kebimbangan Khairy terutamanya kemungkinan besar ahli Umno akan meninggalkan parti itu untuk menyertai parti baru sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri dan pemimpin Umno yang mudah termakan ‘dedak’ Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut pengumuman Mahathir pada 14 Julai itu, beliau berkata, hak menubuhkan parti politik adalah hak demokrasi yang diiktiraf Perlembagaan negara.

“Tun Mahathir sudah menyatakan kesediaan untuk bersama Pakatan Harapan yang diterajui Amanah, DAP dan PKR untuk berhadapan dengan Ummo-BN.

“Ini menunjukkan Tun Mahathir yakin dengan perjuangan Pakatan Harapan memperjuangkan aspirasi rakyat yang mahu membuat perubahan kepada sistem pemerintahan negara yang korup dan zalim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, jelasnya, strategi untuk membentuk pakatan lebih besar adalah strategi yang berkesan dan ampuh dalam usaha menjatuhkan Umno-BN pads Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

“Strategi inilah yang paling ditakuti Umno-BN sehingga Pakatan Rakyat berjaya dipecahkan,” tegas peguam itu.

Pada masa sama, tambah Faiz lagi, pemimpin Pakatan Harapan harus mengukuhkan kesepakatan tersebut dengan merancang strategi, polisi dan rangka kerja bersama yang berkesan sebagai sebuah kerajaan menanti agar menjadi alternatif dokongan rakyat.

Khamis lalu, Mahathir memberitahu gabungan tersebut terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah serta individu yang menentang kerajaan.

Bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafei Apdal turut hadir pada sidang media di Putrajaya itu selepas mesyuarat mengenai pembentukan pakatan berkenaan.

COMMENTS

Wordpress (0)