Malaysia Dateline

Khairy sahkan pekerja Genting dah vaksin, “tetapi bukan arahan saya”

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin menafikan mengeluarkan arahan kepada pekerja syarikat Genting Group untuk menerima vaksin COVID-19.

Menurut Khairy, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) negeri Pahang telah membuat keputusan untuk memberikan vaksin kepada pekerja-pekerja di sektor pelancongan melibatkan 56 buah hotel.

Ianya termasuk di Kuantan, Genting Highlands, Cameron Highlands, Jerantut, Raub, Mentakab, Benyong, Bukit Tinggi dan Bukit Fraser.

Katanya, keputusan ini dibuat apabila negeri Pahang telah selesai memberikan vaksinasi dos pertama kepada semua penerima yang tersenarai dalam kumpuan keutamaan Fasa 1.

Khairy berkata, pihak CITF Persekutuan hanya mengetahui tentang keputusan CITF negeri selepas mereka memulakan vaksinasi kepada kumpulan tersebut.

“Susulan daripada kejadian ini saya telah menulis surat kepada Kerajaan Negeri Pahang 12 April lalu bahawa keputusan untuk menyenaraikan kumpulan awal penerima di bawah bidang selia Jawatankuasa Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV),” katanya.

Sebelum ini, penetapan kumpulan penerima vaksin Fasa 1 PICK adalah mengikut Garis Panduan Penetapan Senarai Petugas Barisan Hadapan seperti yang telah dikeluarkan oleh JKJAV pada 1 Mac 2020.

Semasa tempoh pelaksanaan Fasa 1 PICK janji temu vaksinasi diuruskan oleh CITF negeri mengikut senarai yang turut disediakan di peringkat negeri.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa buah negeri yang beranggapan mereka boleh mula memberi vaksin kepada kupulan penerima lain apabila selesai menjalankan vaksinasi kepada penerima Fasa 1,” katanya dalam kenyataan.

Khairy berkata demikian berikutan ada dakwaan yang menyatakan beliau memberi arahan kepada pekerja Genting Group menerima vaksin COVID-19.