Malaysia Dateline

Khairy ulang apa diperkatakan cybertrooper, tiada idea baru majukan negara?

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ucapan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddun di Perhimpunan Agung Pemuda Umno 2017 mencerminkan beliau seorang pemimpin yang tidak mempunyai prinsip yang jelas dan hanya berupaya memburukkan pihak lawan.

Nik Nazmi Nik Ahmad

Kata beliau, di hadapan rakan-rakannya, Khairy hanya mengulangi apa yang sering diperkatakan oleh cybertrooper dan media Umno, tanpa memberi sebarang idea baru untuk memajukan Umno dan Malaysia.

“Tuduhan melulu seperti Pakatan Harapan hanya memberi janji manis untuk memenangi pilihan raya menunjukkan bahawa beliau begitu takut dengan Pakatan Harapan.

“Beliau memberi contoh Kerajaan Negeri Selangor menabur janji tetapi terlupa bahawa kaji selidik sendiri membuktikan kerajaan pimpinan PH di Selangor terus mendapat sokongan tinggi rakyat, dengan teras pembangunan yang mampan dan peduli rakyat.

“Malah, Kerajaan Persekutuan sendiri telah banyak mencuri dasar yang diperkenal oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk bajet mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Berkenaan GST pula kata Nik Nazmi, Khairy juga membuktikan bahawa beliau dan rakan-rakan gagal untuk menyelami perasaan rakyat apabila menidakkan bahawa cukai tersebut telah memberi kesan negatif kepada kos sara hidup dengan kenaikan harga barang.

“Apabila beliau menyatakan bahawa GST itu perlu sebagai dana asas negara, persoalannya apakah hasilnya kepada rakyat selain pemberian BR1M yang memang sudah diberikan sebelum GST diperkenalkan, dan sekadar untuk membayar projek-projek kerajaan pusat yang telah melambung tinggi.

“Apa pula alasan Khairy apabila peruntukan untuk sektor pendidikan dan kesihatan terus dipotong, walaupun duit GST berbilion dikutip? Mana pergi wang kutipan kerajaan apabila harga petrol melambung tinggi?

“Berkenaan PTPTN, apa yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan agar pembayaran dimulakan hanya setelah penghutang mencapai sasaran pendapatan minima RM4,000 adalah sesuatu yang sudah banyak dipraktikkan di negara lain,” katanya lagi.

Malah sambungnya, melihat keadaan ekonomi sedia ada, perkara ini amatlah perlu kerana kita tidak mahu graduan terus dibebankan dengan hutang apabila selesai belajar.

“Janji Pakatan Harapan tetap untuk memberi pendidikan percuma dan pengkadaran minima untuk bayaran balik PTPTN itu merupakan dasar transisi.

“Kegagalan Kerajaan BN untuk meningkatkan taraf hidup seakan-akan diperakui oleh Khairy apabila beliau menyatakan bahawa graduan akan mengambil masa yang lama untuk mendapat gaji RM4,000.

Khairy telah diberi pentas utama, di hadapan media seluruh Malaysia untuk memberi ucapan dasar, tetapi hanya mampu menggunakannya untuk menghentam pihak lawan. Adakah ini ciri-ciri pemimpin yang memandang ke hadapan? soal Nik Nazmi.