Khaled dakwa Muhyiddin pilih jalan berlainan

Khaled dakwa Muhyiddin pilih jalan berlainan

Selepas dua bulan Majlis Tertinggi (MT) Umno membuat keputusan sebulat suara untuk memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden parti itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor pula menganggap Muhyiddin ‘memilih jalan berlainan’.

Dua kali Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menekankan perbezaan haluan tersebut, ahli Umno diingatkan agar perlu menerima pilihan Muhyiddin itu.

“Kita tidak akan sesekali membakar segala jambatan persaudaraan dan tali persahabatan antara kita, hanya kerana khilaf politik, hanya kerana perbezaan pandangan dan pendirian.

“Kita mesti terbuka dan menerima hakikat bahawa Tan Sri Muhyiddin telah memilih jalan berlainan. Beliau memilih haluan sendiri.

“Haluan yang lebih selesa dan sesuai dengan pendirian dan prinsip beliau,” ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Perkembar hari ini.

Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata, Umno satu-satunya wadah yang mesti dipertahankan walaupun wujud perbalahan antara mereka.

“Lebih-lebih lagi sekarang ini. Saat negara berhadapan dengan begitu banyak sekali cabaran yang kompleks, besar dan luar biasa. Baik dari aspek politik kepada isu ekonomi, daripada aspek kesejahteraan sosial sehinggalah kepada krisis kepimpinan,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Jun lalu memecat Muhyiddin selepas berada sepentas bersama pemimpin pembangkang dan menyerang kepimpinan parti. Turut serentak dipecat Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Terdahulu, Muhyiddin dan Mukhriz antara pemimpin yang berucap dalam majlis ‘Deklarasi Mahathir’ yang menuntut Najib meletakkan jawatan ekoran skandal mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

TAGS