Malaysia Dateline

Hanipa Maidin

Khaled Nordin bercakap mengenai mandat rakyat, soal Hanipa

Mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang membidas bekas Ketua Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad mengenai kedudukan jawatan menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) AJK Pimpinan Nasional AMANAH, Mohamed Hanipa Maidin berkata, ia memalukan.

Kata Hanipa, beliau (Khaled) mempersoalkan kenyataan Tun Hamid dengan menjelaskan bahawa 10 menteri dari blok Azmin adalah mereka yang tidak menghormati mandat rakyat dan memperdagangkan jawatan Ahli Parlimen mereka untuk jawatan.

“Secara tersirat beliau nak kata yang lompat parti dari kem YB Gombak dan sokong YAB PM sekarang ini adalah tidak bermoral kerana tidak dapat mandat rakyat,” kata Ahli Parlimen Sepang itu melalui facebooknya.

Kata Hanipa, beliau sepatutnya memanjangkan isu berkenaan dengan persoalan – bagaimana jika anda semua menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang yang dikira tidak bermoral, adakah tindakan menyokong, mendokong, merestui dan bersama kerajaan tidak bermoral itu boleh dikira bermoral?

Tabah beliau, tidak kisahlah sama ada mereka yang menyokong itu kleptokrat, teknokrat ataupun agamawan.

“Apa pun perbalahan dalaman masih berlaku mengenai pangkat dan kedudukan. Memalukan,” kata beliau.

Menurut laporan MalaysiaGazette semalam Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, pemimpin-pemimpin parti diminta jangan membangkitkan lagi isu pembahagian jawatan Menteri dan Timbalan Menteri sebaliknya belajar tentang tugas masing-masing.

Namun, jika tidak puas hati, lebih baik letak jawatan, tegas beliau.

Bekas Ketua Hakim Negara itu berkata, nampaknya pemimpin-pemimpin terutama dari Umno masih tidak berubah, tidak mengambil iktibar daripada kekalahan dalam PRU14 kerana lebih mementingkan parti dan diri daripada kepentingan negara, bangsa dan agama.