Malaysia Dateline

Khaled Nordin cuba zalimi rakyat

Bekas Menteri Besar (MB) Johor, Dato Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyatakan Pilihanraya Negeri (PRN) sebagai sebuah tanggungjawab jelas menunjukkan bahawa beliau cuba menzalimi rakyat.

Mengulas perkara itu, Adun Kota Iskandar, Sr Dzulkefly Ahmad ketika dihubungi memaklumkan bahawa tindakan Khaled itu jelas membelakangkan suara rakyat yang sedang dalam berjuang untuk kehidupan mereka.

Beliau yang merupakan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, menegaskan kerajaan Johor perlu mementingkan masalah rakyat seperti isu pekerja warganegara yang berkerja di Singapura.

“Masalah rakyat dari segi ekonomi, sosial dan pendidikan banyak lagi yang perlu diselesaikan bukan hanya memikirkan tampuk kuasa seperti alasan yang dibuat untuk membubarkan Dun di Johor.

“Ini jelas kenyataan sombong dari Khaled Nordin yang membelakangkan suara rakyat. Beliau tidak langsung memikirkan soal kebajikan dan tanggungjawab terhadap rakyat di negeri ini yang sedang mengikat perut.

“Apa yang perlu hari ini adalah dengan kerajaan menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Pembangkang sebelum ini pun tidak ada ungkitan mahu mendapatkan kerajaan selepas titah baginda Sultan Johor yang mahukan kesatuan dalam Dun Johor,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno itu membayangkan kecenderungannya untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) dan umum (PRU) ketika sesetengah pihak berpendapat sebaliknya.

Mohamed Khaled berkata PRN dan PRU perlu diadakan segera kerana kerajaan yang ada sekarang “diugut” oleh pembangkang.

Mengulas mengenai kenyataan dibuat Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Khaled berkata tiada kerajaan yang boleh diugut pada setiap masa dan keadaan.