Khaled Nordin didakwa pinggirkan nelayan Batu Pahat

Khairuddin (kiri) mendengar luahan nelayan berkenaan jeti yang menjadi tanda tanya nelayan.

Bekas Menteri Besar (MB) Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dianggap sebagai Menteri Besar yang meminggirkan suara nelayan di daerah Batu Pahat.

Perkara ini didedahkan apabila pihak nelayan di sekitar kawasan tersebut meluahkan perasaan mereka berkenaan dengan Jeti Nelayan Kota Murni yang telah siap dibina tetapi tidak dapat digunakan kerana tiada kelulusan Lesen Pendudukan Sementara (LPS).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senggarang, Haji Khairuddin A Rahim, permohonan daripada pihak nelayan telah dibuat sejak tahun 2010 lagi namun tiada sebarang jawapan.

“Pada awalnya permohonan diajukan atas nama Persatuan Nelayan namun selepas itu ia ditukar permohonan atas nama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) seperti diminta jabatan.

“Rayuan demi rayuan telah dibuat semasa Khaled Nordin menjadi MB. Rayuan mereka tidak diendahkan di zaman Khaled.

“Ketika ini, pendaratan ikan dibuat di jeti Segenting yang mana ia dimiliki oleh seorang indvidu. Jeti tersebut disewa oleh nelayan sebanyak RM1,200 sebulan dan keadaannya agak uzur,” ujar beliau.

Khairuddin juga mempertikaikan berkenaan dengan permasalahan jeti nelayan yang menjadi keperluan bagi nelayan di kawasan tersebut.

Kata beliau lagi, usaha untuk memohon semula kelulusan LPS jeti berkenaan akan dilakukan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Johor ini.

“Apa salahnya dengan jeti di kawasan tersebut yang masih belum boleh digunakan? Dalam maklumat yang diperolehi, pihak perancang bandar turut menyokong lokasi tersebut.

“Diharapkan rayuan kali ini akan diluluskan memandangkan keperluan yang mendesak dari nelayan di rantau ini,” kata Khairuddin.

Sebelum ini permohonan telah dibuat pada awal 2010, rayuan pada 17 Ogos 2010 dan semakan rayuan pada 29 Mac 2011 serta Disember 2015 semakan kali kedua namun masih tiada sebarang kelulusan LPS.

Jeti itu diperlukan bagi mendaratkan hasil tangkapan selain menempatkan tangki minyak bersubsidi serta pelbagai barangan lain.

 

CATEGORIES