Khaled perlu sokong cadangan wujudkan Biasiswa Bangsa Johor

Khaled perlu sokong cadangan wujudkan Biasiswa Bangsa Johor

Bekas Pengetua Maktab Sultan Abu Bakar, Zais Mohd Akil hari ini membidas kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyifatkan cadangan mengadakan Biasiswa Bangsa Johor sebagai retorik pembangkang untuk menghadapi pilihan raya umum.

Jelas Zais, Khaled tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana tugas memikirkan soal pendidikan serta bantuan kepada rakyat adalah menjadi tanggung jawab parti politik kerana mereka harus memikirkan produk yang terbaik untuk rakyat.

Zais Mohd Akil“Soal bantuan kewangan kepada pelajar tidak perlu dilihat sama ada ia parti pembangkang atau pemerintah dan ini soal membantu anak muda kita untuk melanjutkan pelajaran serta perlu menjadi keutamaan.

“Kalau dia kata itu retorik parti pembangkang, ia jelas sekali bertentangan dengan dasar pendidikan dan seharusnya parti politik memberikan penekanan dari segi bantuan ini tanpa mengira siapa yang berkata.

“Haruslah perkara ini jangan disalahertikan oleh Menteri Besar Johor… saya menyokong penuh cadangan Biasiswa Bangsa Johor ini,” tegas Zais.

Zais juga bersetuju lebihan pendapatan negeri dijadikan dana bagi menampung atau menambah baik biasiswa kepada pelajar dan lebihan itulah yang sepatutnya digunakan bagi membantu rakyat negeri ini.

Menurut beliau lagi, kerajaan negeri dilihat tidak mampu mentadbir urus lebihan dana yang ada bagi manfaat rakyat seperti mewujudkan biasiswa.

“Sepatutnya lebihan dana pendapatan negeri boleh dijadikan sebagai tampungan untuk membiayai biasiswa bagi pelajar yang memerlukan dan saya percaya Khaled tidak mampu menguruskan lebihan dana ini dengan baik kerana ada pengaruh-pengaruh dari luar.

“Saya tak mahu sebut nama mereka tapi saya tahu,” ujarnya lagi.