Malaysia Dateline

Khalid akan jumpa Mahathir bincang tawaran Kampung Baru

Khalid Abdul Samad

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad akan bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan mengenai tawaran kerajaan kepada pemilik tanah Kampung Baru ketika pemukiman pemimpin Pakatan Harapan (PH) hujung minggu ini.

Beliau berkata sama ada tawaran lebih baik boleh diberikan, berbanding tawaran RM850 bagi setiap kaki persegi sebelum ini, bergantung kepada perbincangan tersebut.

“Jadi saya akan bercakap dengan Tun (Dr Mahathir), sebaik saja saya sahkan dan akan kata ini merupakan tawaran terakhir, kalau mereka terima Alhamdulillah, kalau tak terima apa saya boleh buat Itu hak mereka.

“Kalau terima kita teruskan, kalau tak terima mungkin saya kena jumpa seorang demi seorang, dalam kumpulan kecil bagi menerangkan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Tindakan Putrajaya Bandar Pintar di sini hari ini, apabila ditanya berhubung perkembangan cadangan pembangunan semula Kampung Baru.

Khalid berkata beliau akan turut melihat sama ada terdapat kemungkinan tawaran juga boleh diberikan dalam bentuk saham daripada projek pembangunan Kampung Baru.

“Katakanlah setiap orang diberikan saham dalam pembangunan itu, sekiranya projek itu berjaya dan mencapai keuntungan, maka semua orang akan dapat manfaat daripadanya kerana kita khuatir kalau kita tawarkan satu harga yang terlalu tinggi, ianya akan menjejaskan daya maju projek itu.

“Kita kena tentukan tawaran yang dibuat munasabah dan boleh menjamin keuntungan, bukan sekadar keuntungan, tetapi juga kebolehlaksanaannya dan tidak rugi,” katanya.

Mengenai cadangan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) supaya kaedah pajakan diguna pakai sebagai alternatif untuk menyelesaikan kemelut tanah Kampung Baru, Khalid berkata kaedah itu agak sukar untuk dilaksanakan.

“Apa akan berlaku ialah semua penduduk Kampung Baru takkan dapat nilai tanah mereka kerana kita sewakan bukan jual.

“Yang kedua, pajakan bererti selepas habis tempoh itu orang yang dah majukan bina rumah, bangunan dan sebagainya kena serahkan balik. Adakah pemaju sanggup begitu Belanja bina bangunan selepas itu serah balik kepada penduduk,” katanya.

Semalam, Khalid dilaporkan berkata daripada 700 hingga 800 borang yang diterima Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) daripada penduduk Kampung Baru berhubung pembangunan semula kawasan itu, kira-kira 90 peratus pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi oleh kerajaan.

— BERNAMA