Khalid akan pastikan rakyat tempatan dapat berniaga jika Kampung Baru dibangunkan

Khalid akan pastikan rakyat tempatan dapat berniaga jika Kampung Baru dibangunkan
Khalid Samad (tengah) menunjukkan replika jumlah sumbangan secara keseluruhan kepada 71 buah masjid dan surau di sekitar Wilayah Persekutuan.
Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad, memaklumkan pihaknya akan memastikan bahawa rakyat tempatan sahaja yang akan mendapat tempat untuk berniaga jika Kampung Baru dibangunkan nanti.
Beliau berkata, sepatutnya warga asing yang datang ke Kuala Lumpur adalah sebagai pekerja dan bukannya seorang peniaga.

Khalid mengulas demikian sebagai jawapan balas kepada isu yang dibangkitkan Ahli  Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd Harun, mengenai lambakan warga asing di Kampung Baru perlu segera ditangani, berikutan terlalu banyak kes membabitkan monopoli perniagaan.

“Saya ingin maklumkan, lesen perniagaan sebenarnya diberikan kepada warga tempatan sahaja.. tidak ada seorang pun warga asing yang layak mendapatkan lesen perniagaan.

“Warga asing ini sebenarnya tiada tempat untuk berniaga. Mereka sepatutnya datang ke sini (ibu kota) sebagai ahli perniagaan dan bukannya sebagai penjaja yang berniaga di tepi jalan.

“Bila kita nak bangunkan Kampung Baru nanti, kita akan mulakan semula semuanya. Contohnya seperti bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan Tar) kita pindahkan ke Jalan Raja. Mula baru balik,” katanya.

Salah seorang wakil masjid di Wilayah Persekutuan menerima sumbangan daripada Khaiid Samad pada majlis yang diadakan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Kampong Baru Ihya’ Ramadan, di Masjid Jamek Kampung Baru yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Zaizalnizam Zainun dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Ajib Ismail.

Dalam majlis itu, Khalid menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dan juga kepada 71 buah masjid di sekitar Wilayah Persekutuan.

Terdahulu, Khalid turut berkesempatan mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai selepas selesai solat Asar.

Dalam perkembangan sama, Khalid menambah jika Kampung Baru dibangunkan nanti, pihaknya akan menyediakan tempat perumahan dan juga perniagaan.

“Di samping memberi nafas baharu kepada Kampung Baru, kami juga akan menaik taraf tempat-tempat yang sedia ada supaya ianya nampak lengkap dan sempurna.

“Jadi bila Kampung Baru siap dibangunkan, kita akan memperincikan dan susun semula supaya dapat kembali kepada asal, tetapi bila dah balik kepada asal, kalau amalan sewa lesen dan tapak terus dilakukan, maka masalah itu akan kembali.

“Dengan permulaan yang baharu, kami berharap amalan sewa lesen dan jual tapak itu dapat dihentikan dan selepas itu kami kena pastikan orang yang dapat lesen itu benar-benar peniaga,” jelasnya lagi.

Kelmarin, Rina Harun mengatakan isu lambakan warga asing di Kampung Baru itu telah berlarutan sejak sekian lama dan perlu diselesaikan segera bagi menjamin peluang pekerjaan lebih adil kepada rakyat tempatan di kawasan ini.

Rina berkata warga asing sepatutnya bekerja dalam sektor atau industri tertentu sahaja dan bukannya boleh bekerja di semua sektor.