Malaysia Dateline

Khalid akan tinggalkan Shah Alam, bertanding di Titiwangsa?

Bekas Ahli Parlimen Shah Alam selama tiga penggal, Khalid Abdul Samad disebut-sebut akan memberikan laluan kerusi selamat itu untuk tokoh baru dari AMANAH dan beliau sendiri akan bertanding di Parlimen Titiwangsa dalam pilihan raya umum ke 15 ini.

Menurut sumber, keputusan ini dicapai dalam mesyuarat AMANAH semalam namun sehingga kini tidak ada sebarang pengumuman dibuat mengenainya.

“Saya dimakklumkan Khalid akan ke Titiwangsa,” kata satu sumber yang rapat dengan AMANAH.

Mesyuarat Pakatan Harapan sebelum ini memutuskan kerusi Titiwangsa yang sebelum ini ditandingi dan dimenangi oleh Datuk Seri Rina Harun dari Bersatu diberikan kepada AMANAH.

Dalam pilihan raya umum lalu, AMANAH tidak diberikan sebarang kerusi di Wilayah Persekutuan menyebabkan jenteranya sangat tidak berpuashati.

Khalid sejak pilihan raya ke 13 pada 2013 lalu lagi bercadang untuk meninggalkan Parlimen Shah Alam untuk meneroka kerusi baharu.

Ketika itu, Johor menjadi pilihan beliau kerana bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berasal dari negeri selatan tanahair itu.

Kini Khalid dikatakan bersetuju untuk bertanding di Titiwangsa selepas beliau dikatakan calon yang paling berpeluang menang selepas dikenali ramai di situ ketika beliau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dahulu.

Ketika menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, isu utama yang diperjuangkan oleh Khalid adalah pembangunan semula Kampung Bharu yang terletak dalam Parlimen Titiwangsa dengan cara kerajaan membeli tanah dari pemiliknya.

“Tawaran RM1,000 sekaki persegi untuk tanah di Kampung Bharu adalah satu tawaran terbaik,” kata sumber yang memaklumkan pemilihan Khalid ke Titiwangsa.

Selain isu Kampung Bharu, Khalid juga dikatakan perlu menjadi wakil rakyat di Wilayah Persekutuan selepas kejayaan besar beliau membawa imej Kuala Lumpur ke serata dunia.

“Kejayaan Khalid memulihkan imej bola di Kuala Lumpur dengan membawanya sehingga ke persada dunia perlu diraikan dengan menjadikan beliau sebagai wakil rakyat di Kuala Lumpur dan Titiwangsa adalah kerusi terbaik untuk beliau,” kata sumber itu.

Selepas Khalid menjadi Presiden KLFA, beliau telah berjaya menjadikan KL City sebagai juara Piala Malaysia dan kini memasuki pertandingan akhir Piala AFC.

Padahal sebelum Khalid menjadi Presiden KLFA, pasukan KL ini menjadi antara pasuakn tercorot dalam liga Piala Malaysia.