Malaysia Dateline

Khalid anggap Najib dan konco bakal terlepas pendakwaan

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menganggap Datuk Seri Najib Razak tentunya bahagia dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Beliau menyifatkan pendakwaan sejumlah kes sebelum ini terhadap bekas Pengerusi BN itu serta konco-konconya akan digugurkan.

“Najib pasti bahagia. Begitu juga gengnya. Akan terlepas dari terus didakwa sedangkan dari perbicaraan terbuka, amat jelas dan nyata, beliau penipu dan perompak,” katanya dalam ciapan di Twitter pagi ini.

Sehubungan itu, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan berpendapat sokongan Najib dengan ucapan tahniah kepada Muhyiddin tidak menghairankan.

“Maka Najib berdiri teguh bersama TSMY (Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin). Ada yang hairan?” bidas Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Terdahulu, Najib dalam Twitter mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin susulan perkenan pelantikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Pelantikan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Perdana Menteri itu, dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di Istana Negara dijadualkan pada jam 10.30 pagi ini.

Kemelut politik negara tercetus apabila Tun Dr Mahathir Mohamad, bertindak meletakkan jawatannya pada 24 Februari lalu.