Malaysia Dateline

Khalid anggap saiz besar Kabinet mahu dapatkan sokongan Muhyiddin

Khalid Samad (PH-Shah Alam) membidas Menteri Kanan (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang mempertahankan saiz besar kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu menyifatkan saiz Kabinet yang terdiri daripada 32 menteri dan 37 timbalan menteri itu bertujuan mendapatkan sokongan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Dari segi angka pun sudah jelas. Dalam suasana Covid-19, kebanyakan kementerian tidak dapat menjalankan program seperti dalam suasana biasa, tiba-tiba jumlah menteri dan kementerian ditambah. Ia amat memalukan,” tegas Khalid.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional itu berkata demikian ketika bangkit mencelah semasa sesi perbahasan Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkenaan kemudiannya mengingatkan Khalid supaya tidak mengelirukan Dewan Rakyat dengan tuduhan seumpama itu.

“Ini cuma andaian daripada Shah Alam, tidak perlu mengelirukan rakyat. Tidak perlu kita putar belit fakta.

“Kita kaji segala skop dari segi tugas untuk ditambah baik dan beri impak yang lebih,” katanya.

Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu tersebut memberitahu saiz Kabinet yang besar itu diperlukan supaya program dan projek kerajaan dapat berjalan lancar.

“Saiz pentadbiran PN tidaklah terlalu besar, walaupun ada sedikit penambahan berbanding pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“PH mempunyai 28 menteri, PN mempunyai 32 menteri. Lebih empat sahaja, timbalan menteri semasa PH adalah 27 dan PN 37.

“Tapi kementerian telah bertambah, iaitu dahulu ada 25 kementerian dan hari ini kita (PN) ada 27 kementerian,” kata Redzuan lagi.