Malaysia Dateline

Khalid anggap tiada bukti DAP kuasai kerajaan PH

Dakwaan pihak pembangkang kononnya Melayu dan Islam terancam disebabkan penguasaan DAP selepas setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah tidak benar.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berpendapat tohmahan Umno dan Pas yang mengaitkan dengan sentimen kebencian itu langsung tidak berasas.

“Kita dapati mereka lebih menggunakan sentimen dan pendekatan politik kebencian kononnya PH anti Islam, DAP menguasai tapi fakta tiada.

“Kita tanya bagaimana DAP menguasai, apa buktinya, dia beri bukti pun tiada.

“Jadi, inilah masalahnya. Dia hanya gunakan sentimen kebencian dan kemarahan semata-mata sedangkan tiada fakta,” tegas Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Beliau berkata demikian dalam slot Bicara Khalid Samad di saluran Jom Channel semalam.

Mengulas lanjut, Menteri Wilayah Persekutuan itu berpendapat Umno-Pas hanya akan menimbulkan isu seperti Melayu terpinggir dan Islam dihina jika kedua-duanya secara rasmi bergabung.

Walau bagaimanapun, Khalid menyifatkan rakyat harus menilai sendiri sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut.

“Kita memahami apabila dua parti Melayu ini bergabung maka isu yang akan mereka timbulkan adalah isu Melayu terpinggir, isu Islam dihina dan sebagainya.

“Tetapi saya rasa rakyat pun kena fikir sendiri kononnya Islam terancam (tetapi) kita sembahyang terawih dan sembahyang raya tiada masalah pun.

“Buat program-program Hari Raya pun tiada masalah. Tentang Islam terancam ini, orang Islam sendiri yang tidak ikut ajaran Islam, itu yang merosakkan imej Islam.

“Tetapi dari segi kononnya Pakatan Harapan melemahkan kedudukan orang Islam dan Melayu, saya rasa itu tidak benar,” tegas Khalid lagi.