Malaysia Dateline

Khalid bidas Hadi: Terima jawatan sebagai habuan untuk sokong PN pun sama seperti ambil rasuah

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilihat cuba menyembunyikan hakikat bahawa parti Islam itu yang sebenarnya bersikap ‘lunak’ terhadap golongan perasuah yang sudah terbukti bersalah di mahkamah, dan bukannya Pakatan Harapan.

Dalam hantaran di Facebook milik Hadi Awang pada semalam, beliau secara terbuka mendakwa ramai dalam kalangan PH tidak beriman (beraqidah) dan bermoral (berakhlak).

Pas juga menuding kepada PH sebagai parti yang ‘mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah’.

Susulan itu, Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional Khalid Samad membidas tuduhan tersebut dan mengingatkan bahawa Hadi juga tidak lari seperti menerima rasuah apabila menerima tawaran jawatan dalam kerajaan sebagai habuan untuk menyokong pemerintahan Perikatan Nasional.

“Seharusnya Pas mengambil sikap yang lebih tegas dalam menolak parti dan kepimpinan parti yang mengamalkan budaya rasuah seperti Umno

“Pas juga seharusnya menolak amalan menerima tawaran jawatan sebagai habuan sokongan untuk berkuasa seperti mana yang berlaku semasa pembentukan Perikatan Nasional kerana ianya juga satu bentuk rasuah dan tidak bermoral.

“Kami percaya Hadi membuat kenyataan ini (menuduh PH) bagi menyembunyikan sikap sebenar Pas yang lunak terhadap rasuah apabila Pas mempertahankan individu dan kumpulan pelaku rasuah yang telah dibuktikan bersalah di mahkamah.

“Apatah lagi ia dibuat ketika Sarawak Report menegaskan mereka ada bukti Pas menerima wang dari Umno dan juga tindakan Hadi menarik balik saman beliau terhadap Sarawak Report,” balas Khalid dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Khalid juga mengingatkan,sikap tegas PH terhadap rasuah telah dibuktikan dengan kejayaan gabungan itu membawa pelaku rasuah dalam skandal 1MDB ke muka pengadilan.

Rekod cemerlang kerajaan PH dalam melawan rasuah turut terbukti apabila Indek Persepsi Rasuah (IPR) Malaysia pada tahun 2019 telah menunjukkan kenaikan skor IPR yang tertinggi sebanyak 53 poin sambil meraih kedudukan pada tangga 51 daripada 180 negara.

“Manakala semasa Pas menjadi sebahagian dari kerajaan PN pada tahun 2020, Malaysia telah menerima skor yang lebih rendah sebanyak 51 poin dengan jatuh kedudukan pada tangga 57.

“…dan kini terus menjunam pada tahun 2021 setelah mendapat skor sebanyak 48 dan berada di kedudukan tangga 62 daripada 180 negara yang terlibat,” tegasnya.

Tambahnya lagi, PH sebelum ini turut menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) sebagai sebuah agensi pengukuhan amalan urus tadbir baik dan anti-rasuah. Dalam tempoh yang singkat, GIACC telah berjaya melaksanakan beberapa inisiatif dalam melawan amalan rasuah dalam pentadbiran negara.

Baca juga: Pekerja hotel luah realiti kebanyakan kaki travel suka buat sepah dekat bilik, siap tinggalkan najis berterabur

Baca juga: Jangan marah pada Yb Presiden Pas, kasihanilah dia!