Malaysia Dateline

Khalid buat laporan polis, SKMM akaun Telegram dicerobohi

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) ekoran akaun telegramnya didakwa dicerobohi.

Menurut kenyataan di pejabat menteri, laporan polis dibuat di Ibupejabat Polis Putrajaya di Presint 7 jam 11 pagi tadi.

Manakala laporan kepada SKMM dibuat sejurus selepas itu kepada pegawai kanannya di Ibupejabat SKMM di Cyberjaya.

Menurut Khalid ia bermula dengan satu mesej melalui aplikasi whatapps yang beliau terima daripada individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Duta Amerika ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdir pada 2 Mei lepas.

Khalid Abdul Samad bersalaman dengan pegawai polis IPD Putrajaya selepas membuat laporan hari ini.

“Saya telah menerima whatapps yang kononnya dari Kamala yang menyatakan dia mahu berhubung dengan saya.

“Bagi memudahkan perhubungan beliau meminta saya membuat turun aplikasi Telegram pada awalnya dan kemudian aplikasi Viber,” ujar Khalid yang selepas itu memuat turun kedua-dua aplikasi tersebut.

Katanya lagi dari aplikasi Telegram itu pelbagai pihak dihubungi atas nama Khalid.

“Tujuannya adalah untuk memperdayakan mangsa bagi mendapatkan duit,” tambahnya lagi berdasarkan maklumat yang disampaikan kepada beliau oleh pihak yang disasarkan oleh penjenayah itu.

Sehubungan dengan itu beliau meminta mana-mana pihak yang menerima mesejk melalui akaun Telegram beliau untuk mengabaikannya kerana beliau sendiri tidak aktif di Telegram.