Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad mencabar golongan Ahli Parlimen yang mengkhianati Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di kerusi masing-masing yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Tegasnya, mereka terbabit menang atas tiket PH semasa bertanding pada ketika itu tetapi kemudiannya meninggalkan blok politik tersebut sehingga kerajaan PH kehilangan majoriti tahun lalu.
“Dipilih rakyat atas tiket PH. Tapi khianat. Maka ikut pilihan sendiri, bukan pilihan rakyat.
“Nak tengok Azmin bertanding di Gombak PRU-15 ini. Mahiddin Yassin (bertanding) di Pagoh. Kamaruddin Jaafar di Bandar Tun Razak.
“Kita tengok boleh menang ke?” katanya menerusi Twitter.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap ciapan seorang pengguna media sosial itu yang menganggap kumpulan wakil rakyat terbabit menjadi aggota Dewan Rakyat atas sebab pilihan pengundi.
“Mai mana bukan pilihan rakyat sedangkan mereka jadi wakil rakyat @ Ahli Parlimen pun atas undi rakyat,” katanya.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menegaskan rakyat yang memberi kemenangan kepada mereka pada 2018 sehingga membolehkan PH meraih majoriti mudah di Parlimen untuk membentuk kerajaan persekutuan tidak akan lupa golongan pengkhianat terbabit.
“Rakyat ingat pengkhianat-pengkhianat semua,” tambah Khalid lagi.
Untuk rekod, PH ketika PRU-14 terdiri daripada Bersatu, PKR, AMANAH dan DAP meraih 113 kerusi manakala BN (79), Pas (18), Warisan (8); Parti Solidariti Tanah Airku (1) dan Bebas (3).
Kemenangan PH tiga tahun lalu mencipta sejarah tersendiri dalam politik demokrasi negara apabila berjaya menamatkan monopoli BN selepas 60 tahun.
Walau bagaimanapun, pentadbiran kerajaan PH hanya mampu bertahan selama 22 bulan di Putrajaya apabila 13 Ahli Parlimen Bersatu dan 11 Ahli Parlimen PKR bertindak keluar dari gagasan itu pada Februari tahun lalu.
Kumpulan Ahli Parlimen terbabit yang meninggalkan PH melalui Langkah Sheraton itu sekali gus dianggap sebagai pengkhianat kerana mengakibatkan mandat lima tahun PH dirampas.