Malaysia Dateline

Khalid cadang Parlimen bahas isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengusulkan agar Dewan Rakyat membahaskan isu Kampung Sungai Baru, Kampung Baru berikutan isu pengambil alihan tanah di kawasan tersebut oleh pihak pemaju swasta untuk pembangunan semula.

Khalid menerusi surat yang diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, berkata, perkara tersebut melibatkan kepentingan ramai kerana ia membabitkan pengambilan tanah pemilik tanah Kampung Sungai Baru yang telah memiliki dan menduduki tanah tersebut sejak beberapa generasi.

“Saya mencadangkan bahawa majlis ini hendaklah ditangguhkan mengikut perkara 18(1) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan Dewan yang mulia berunding isu Kampung Sungai Baru.

“Isu ini adalah perkara tertentu kerana ianya khusus melibatkan tindakan kerajaan menggunakan peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil tanah pemilik tanah Kampung Sungai Baru bagi tujuan pembangunan semula oleh pemaju swasta.

“Perkara ini perlu disegerakan kerana sehingga sekarang, pemilik tanah telah diberikan Notis Siasatan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan telah melalui satu (1) proses siasatan,” katanya dalam surat bertarikh 8 Disember 2021.

Khalid mendakwa, pemilik tanah merasa tekanan yang dahsyat dengan tindakan kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 di waktu pandemik Covid-19 untuk dimajukan.

Tindakan ini tegasnya, perlu dihentikan segera demi kepentingan pemilik tanah dan penduduk sekitar yang akan terkesan secara langsung atau tidak langsung dalam proses pengambilan tanah dan pembangunan semula ini.

Surat yang ditandatangani Khalid itu juga dilihat telah diterima oleh pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.