Malaysia Dateline

Khalid cuba menangkupkan perahu yang pecah

Panjang lebar Khalid Samad menulis perihal pertemuannya dengan Dr Mahathir sebagai sambungan penulisan lalu. Tulisan Khalid jadi pro dan kontra dari pelbagai pihak, begitu jelasnya. Bagi saya, catatan Khalid bagus kerana ia bersifat inside story, baik dan berfaedah sebagai bahan maklumat sejarah.

Walaupun ia tidak merupakan fakta seratus peratus kerana ada unsur-unsur andaian atau kesimpulan dibuat Khalid sebagai orang hampir dengan Mahathir, namun ia boleh dijadikan sumber asas untuk memahami peristiwa dialami Mahathir sehingga tumbangnya kerajaan PH.

Dalam tulisan itu, Khalid bersifat adil dan cuba memberi gambaran secara benar dan berprinsip. Khalid cuba memberi gambaran sebenar. Bagi Khalid penyebab kejatuhan kerajaan PH adalah kerana pengkhianatan dan tidak jujur Azmin Ali, Muhyiddin Yassin dan setiausaha politik Mahathir yang Khalid tidak sebut nama, (individu itu ialah Zahid Mat Arif), tanpa secoret pun menceritakan kelemahan PH.

Dalam melihat peristiwa kejatuhan kerajaan PH itu, Khalid tidak sedikit pun menyalahkan Dr Mahathir, sebaliknya lebih bersimpati dengan apa dialami bekas PM dua kali itu. Mungkin dari sisi ini, tulisan Khalid itu tidak sepenuh real.

Kita boleh bersetuju dan tidak boleh bersetuju semuanya. Menganalisa apa yang sudah jadi sejarah itu, bagi saya Mahathir tetap mempunyai “saham” begitu juga Anwar ikut sama melabur melalui proksinya dalam parti terhadap peristiwa itu. Kedua-dua mereka adalah “sekunder” kepada masalah.

Dalam tulisan itu, Khalid cuba menjernihkan keadaan dan menyeru agar ia dijadikan pengajaran dan meletakkan keyakinan PH boleh memerintah kembali dengan syarat Mahathir dan Anwar duduk bersama dengan aman.

Harapan itu bagi saya sukar untuk jadi kenyataan. Perseteruan Mahathir dan Anwar, (pinjaman istilah Khalid) tidak boleh diselamatkan kerana ia ada sejarah yang panjang.

Walaupun apa dikatakan Khalid itu benar, tetapi ia tidak mungkin berlaku lagi. Mungkin Anwar boleh terima Mahathir tetapi tidak pengikut dan orang luar yang tidak makrifat dengan ilmu siasah sekular dan juga tidak dapat menghayati mesej tulisan Khalid itu sepenuhnya.

Bagi saya kontak politik mahupun batin Anwar dengan Mahathir sudah khalaf. Ibarat perahu ia sudah terbelah dan putus dua, dan cuba ditangkupkan semula oleh Khalid.

Kenyataan dikeluarkan Mahathir seperti dilaporkan dalam akhbar sesudah kerajaan PH hilang mengenai Anwar sungguh pedih dan menunjukkan belang dan warna hati Mahathir sebenarnya.

Apa kata beliau; Anwar tidak layak jadi PM kerana dia lebih banyak berpolitik daripada mentadbir. Untuk apa lagi Mahathir mendedahkan dendamnya sesudah hari telah menjadi malam.

Walaupun kenyataan itu benar pada pandangan mata zahir dan batinnya, tetapi beliau tidak sepatutnya mengeluarkan patah-patah bersifat panah itu apa lagi sesudah kerajaan PH hilang.

Untuk apa dia terus mencemburui dan dendam dengan Anwar kerana tidak ada apa lagi yang beliau boleh hadiahkan kepada Anwar setelah semuanya menjadi puing-puing.

Bagi pencerap politik tanah air, kenyataan Mahathir dan pandangan beliau terhadap Anwar itu samalah konotasinya dengan maksudnya kenyataan Abdul Hadi Awang kepada Dr Wan Azizah tidak layak untuk jadi Menteri Besar Selangor.

Kesimpulannya, Mahathir bagi Anwar dalam konteks ini samalah dengan Dr Wan Azizah dengan Abdul Hadi. Kedua-dua mereka boleh senyum di hadapan tetapi senyuman itu tidak menyerap hingga ke sukma lagi.

Bagus untuk Khalid cuba menangkup perahu yang putus, tetapi kerja itu sangat menyulitkan. Lebih afdal membina perahu baru.