Khalid dedah dua lagi kes ceroboh tanah milik kerajaan di Bandaraya

Khalid dedah dua lagi kes ceroboh tanah milik kerajaan di Bandaraya
Khalid bersama Datuk Bandar KL menunjukkan gambar bangunan yang dibina di atas tanah kerajaan dalam sidang media sempena majlis ramah mesra dengan media semalam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mendedahkan dua keping lagi tanah kerajaan telah dibina bangunan tanpa kebenaran, satu di Setapak manakala satu lagi di Kuchai Jaya, Petaling.

Sehubungan itu, Khalid berjanji satu laporan rasmi akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata ia membabitkan Dewan Shazac Bistari Kompleks Yayasan Wangsa Perdana di Lot 27679 Jalan Gombak, Mukim Setapak dan Kompleks Tun Abdul Ghafar Baba di Lot 33600, Jalan Kuchai Jaya 1 Mukim Petaling.

Menurutnya, tanah di Kompleks Tun Abdul Ghafar yang berkeluasan 0.8 ekar memperoleh Perintah Pembangunan daripada pihak berkuasa pada 25 April 2017 manakala Dewan Shazac Bistari Kompleks Yayasan Wangsa Perdana berkeluasan 0.7 ekar tidak mempunyai Perintah Pembangunan.

Dalam sidang media sempena majlis ramah mesra bersama media lewat semalam, Khalid berkata, kedua-dua pemilik bangunan itu diberikan temoh sehingga hujung Februari depan untuk menemui pemilik tanah untuk menyelesaikan kes ini.

Sebelum ini Khalid mendedahkan kes pencerobohan dua lot tanah milik kerajaan di Medan Imbi, Bukit Bintang. Tanah berkenaan adalah Lot 568 milik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan dan Lot 716 dimiliki Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Ketua Setiausaha Negara.

Khalid dilaporkan berkata dua lot tanah seluas 0.14 hektar itu pada asalnya adalah taman permainan dan kawasan lapang yang dipenuhi pokok tetapi kini sudah digantikan dengan sebuah bangunan pejabat enam tingkat serta gerai buah-buahan.