Malaysia Dateline

Khalid desak DBKL pulangkan deposit bazar Ramadan

Kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penganjur bazar Ramadan diminta untuk memulangkan semula keseluruhan bayaran tapak bazar yang dikenakan kepada para peniaga.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, berkata, ianya termasuklah deposit, sewa tapak dan lain-lain yuran atau bayaran yang dikenakan.

Tegasnya, adalah tidak wajar sekiranya wang milik peniaga kecil yang sedang berhadapan kekangan kewangan ketika ini dipegang sebagai deposit dan tempahan selama setahun.

“Para peniaga bazar sangat memerlukan wang terutama ketika negara berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sudahlah mereka tidak dapat berniaga, duit sewa dan deposit mereka pula dipegang.

“Soal bazar tahun depan, ia perlu diuruskan tahun depan dengan pengundian tapak dibuat semula,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, penjaja yang sudah mendaftar dan membayar untuk perniagaan di Bazar Aidilfitri di Jalan Raja dan Bazar Iftar Ramadan 2020 di 65 lokasi di ibu negara di beri dua pilihan ekoran pembatalan bazar kedua-duanya.

Pilihan pertama adalah tidak menuntut bayaran fi lesen, caj perkhidmatan atau pembersihan, sewa tapak, wang cagaran dan mana-mana berkaitan yang sudah dibayar namun layak secara automatik berniaga di kedua-dua bazar terbabit pada tahun depan.

Bagaimanapun, mereka yang memilih pilihan kedua itu tidak layak untuk berniaga di kedua-dua bazar berkenaan pada tahun depan sebaliknya perlu membuat permohonan semula sebaik dibuka nanti

Sementara itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, DBKL seharusnya menanggung kerugian yang terpaksa ditanggung penjaja khususnya penganjur pasar malam yang telah membuat persediaan.

Beliau berkata, DBKL atau Kementerian Wilayah Persekutuan itu sendiri perlu menanggung secara minima selepas Menterinya memberi harapan bahawa bazar Ramadan akan diadakan tahun ini

“Di lokasi yang ada penganjur bazar, pihak penganjur juga mendakwa mereka telah berbelanja besar untuk persiapan bazar untuk tahun ini.

“Jika diambil balik duit itu maka mereka akan terpaksa memohon kembali tapak dan tiada jaminan mereka akan terpilih kembali,” kata Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH itu lagi.