Khalid galak kementerian wujudkan portal berita tangani berita palsu

Khalid galak kementerian wujudkan portal berita tangani berita palsu
Khalid Samad ketika pelancaran Buku 365 Hari Mangurus Transisi Memenuhi Harapan & Portal Berita Wilayahkudi Putrajaya, hari ini.

Kementerian Wilayah Persekutuan menyarankan supaya setiap kementerian di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai portal berita tersendiri untuk menangani masalah aspek komunikasi dan penyebaran berita palsu di media sosial.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, adalah penting supaya kementerian mempunyai satu sayap komunikasi yang berkebolehan memberi maklumat segera dan menjawab persoalan dan isu-isu berbangkit.

Jelasnya, suasana dalam masyarakat tidak sama seperti dahulu, di mana media sosial menguasai penyebaran maklumat dan informasi sehingga membuka ruang untuk penyebaran maklumat palsu.

“Saya kira ianya perlu bagi setiap kementerian, kena ada portal berita sendiri kerana kadangkala apa yang disiarkan oleh portal pihak kerajaan tak cukup kerana program yang dijalankan adalah banyak.

“Persoalan komunikasi adalah aspek penting untuk mendedahkan kepada masyarakat tentang setiap aktiviti kementerian kerana ada sebahagian yang masih tak tahu apa menteri lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Buku 365 Hari Mangurus Transisi Memenuhi Harapan & Portal Berita Wilayahku, di Auditorium Menara Seri Wilayah, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Saripuddin Kasim; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim; dan Ketua Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Zaizalnizam Zainun.

Malah, beliau turut menekankan kepentingan bagi kementerian mempunyai portal berita yang setanding dengan media arus perdana bagi mengelakkan penyebaran berita palsu yang turut mengaitkan dirinya sebelum ini.

“Saya sendiri tidak terlepas dari serangan tersebut apabila baru-baru ini pihak tidak bertanggungjawab menyebar semula video saya diserang di Parlimen pada tahun 2016.

“Video tersebut dikaitkan pula kononnya orang Kampung Baru menyerang saya atas isu pembangunan Kampung Baru, sedangkan ia tiada kaitan langsung.

“Jadi kehadiran portal Wilayahku sangat penting untuk menyiarkan berita-berita yang berkredibiliti sekaligus menangani penyebaran siaran berita palsu,” ujarnya.

Dalam Majlis sama, beliau berkata, buku terbitan yang dihasilkannya merupakan karya yang menyelitkan program kementerian wilayah yang dilaksanakan dalam tempoh setahun ini.

“Buku itu bukan karya secara pribadi. Hanya di bahagian pengenalan, saya menulis tentang perasaan saya setelah mengambil alih jawatan sebagai menteri. Selain dari itu, ia adalah ucapan dalam program sepanjang satu tahun ini.

“Ucapan tersebut kebanyakan ditulis oleh biro komunikasi yang menggambarkan kegiatan kementerian walaupun saya sebagai pelakon utama tetapi ia adalah kegiatan dan aktiviti Menteri Wilayah Persekutuan,” katanya.

Berbanding versi cetak yang hanya mengandungi 24 halaman, portal berita ini membolehkan lebih banyak ruang berita dapat disajikan seprti berita semasa, ekonomi, aktiviti komuniti dan sukan.

Portal Wilayahku boleh dilayari di laman www.wilayahku.com.my yang bakal memperluaskan lagi liputan pembaca ke seluruh negara di mana ia melibatkan pembaca lebih 2 juta penduduk Ibu kota.

(kiri) Datuk Sariouddin Kassim dan (kanan)) Khalid Samad  ketika melancarkan portal Wilayahku.