Malaysia Dateline

Khalid gesa rakyat Malaysia terus sokong perjuangan Palestin

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad melahirkan harapan agar rakyat Malaysia terus memberi sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin yang kini terus dijajah rejim zionis, sempena sambutan Hari Al-Quds Sedunia, semalam.

Khalid Samad berucap di sambutan Hari Al-Quds Sedunia bertempat di Dataran DBKL semalam.

Khalid berkata, sambutan hari Al-Quds merupakan simbol kesungguhan, perjuangan dan kesetiaan umat Islam mengharungi kesusahan demi menegakkan keadilan untuk berhadapan dengan rejim zalim seperti Israel.

Malah katanya, putus asa bukan jalan terbaik kerana Allah akan hancurkan mereka dengan doa dan harapan umat Islam serta usaha perjuangan yang ditunjukkan pejuang Palestin dan Al-Quds.

“Kita lihat sebelum ini Israel dan Amerika Syarikat telah mengumumkan bahawa Ibu negara Israel berada di Jurusalem. Ianya merupakan tindakan mengkhianati kepentingan dan hak umat Islam. Dia mengkhianati persetujuan yang dicapai sebelum ini.

“Dalam keadaan mereka (Israel) berbuat sesuka hati, kita yakin masa untuk kehancuran bagi Israel dan Amerika Syarikat sudah hampir tiba, In Shaa Allah. Yang penting, kita terus bersama dengan para pejuang membebaskan Palestin.

“Imam yang bersama kita malam ini telah ditahan oleh tentera Israel, semasa usianya hanya 18 tahun dan dimasukkan ke dalam penjara selama 10 tahun. Tetapi dalam keadaan itu beliau tak pernah mengaku Israel yanh menguasai bumi Palestin.

Khalid memjijak poster zionis Israel sebagai bantahan terhadap kezaliman mereka kepada rakyat Palestin

“Sama ada semasa beliau berada di dalam penjara atau setelah dibebaskan, semangat perjuangan yang dipupuk dari kecil itu terus membara dan saya yakin Allah akan memberikan kemenangan untuk umat Islam tidak lama lagi,” katanya ketika merasmikan majlis Sambutan Al-Quds 2019, di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan minggu Al-Quds merupakan satu sambutan yang penting bagi semua umat Islam kerana isu Al-Quds bukan masalah yang perlu ditanggung oleh rakyat Palestin sahaja tetapi umat Islam dan manusia secara keseluruhannya.

Sementara itu, Pengerusi Sejagat cawangan Kuala Lumpur, Abdul Wahid Ibrahim berkata, memorandum menyatakan bantahan kezaliman zionis dan menuntut kebebasan Palestin akan diserahkan kepada kedutaan Amerika Syarikat tengahari ini.

Isu Al-Quds bukan masalah yang perlu ditanggung oleh rakyat Palestin sahaja tetapi umat Islam

“Kita akan berhimpun dan bergerak dari Masjid Tabung Haji sehingga di hadapan pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat. Kita akan serah memorandum bantahan kepada mereka selepas solat Jumaat.

“Sambutan Al-Quds akan disambut setiap tahun pada hari terakhir Jumaat bulan Ramadhan. Sebelum ini memang kita akan buat himpunan, tetapi kali ini pertama kali kami dapat menyambutnya,” ujarnya.