Khalid Ibrahim hadir Konvensyen Umno Selangor

Khalid Ibrahim hadir Konvensyen Umno Selangor

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim didapati hadir ke Konvensyen Umno Selangor dengan berkemeja batik coklat bercampur kuning di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Bekas pemimpin PKR itu dilapor berjalan menuju ke Dewan Merdeka mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, merangkap Naib Presiden Umno Yang Menjalankan Tugas-tugas Timbalan Presiden.

Turut kelihatan hadir dalam program yang berlangsung secara tertutup itu seorang lagi bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, yang kembali semula Umno, September lalu.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Bebas Parlimen Bandar Tun Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu duduk di atas pentas sebaris dengan kepemimpinan kanan Umno Pusat dan Selangor.

Kehadiran Khalid mengundang persoalan kemungkinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Guthrie Bhd itu akan menyertai Umno.

Sebelum menyertai PKR sekitar tahun 2000, Khalid bersama dengan Umno pada 1990-an. Beliau bagaimanapun dipecat dari PKR sebagai ahli seumur hidup berkuatkuasa serta-merta pada 9 Ogos 2014.

Konvensyen menjelang Perhimpunan Agung Umno ke-71 yang dirasmikan Ahmad Zahid itu juga dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan Ketua Sekretariat Tawan Selangor, Datuk Salamon Selamat.

Undangan

Sementara itu, Khalid dalam status Facebook beliau kira-kira pukul 4 petang tadi memberitahu kehadirannya itu kerana menerima undangan.

“Saya menyambut baik semua usaha untuk memperkasakan perpaduan umat Islam baik daripada pihak kerajaan atau pembangkang.

“Saya yakin pendekatan ini jauh lebih efektif daripada hanya menyokong satu pihak yang gemar melaungkan retorik keadilan tanpa komitmen untuk melakukan reformasi sebenar,” ujarnya bersama lampiran dua foto suasana pentas konvensyen itu berlangsung.

Mungkin menyedari dirinya hadir dalam majlis anjuran parti yang berkubang dengan korupsi, Khalid berkata, beliau tetap berpegang pada nilai amanah dan bertanggungjawab.

“Apa pun, saya tidak akan melepaskan prinsip amanah, telus dan bertanggungjawab dalam segala tindakan dan keputusan,” tambahnya.

7.5
OVERALL SCORE
: 6.0
1 user vote x 9.0
CATEGORIES
TAGS
Share