Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad tampil menjelaskan dakwaan yang diterbitkan portal MalaysiaNow bahawa Khalid pernah membantu sebuah syarikat pemaju swasta mendapatkan kelulusan tender.
Kelulusan yang dimohon pemaju syarikat tersebut adalah permohonan untuk mendapatkan sebuah plot tanah Kuala Lumpur bagi tujuan pembangunan bercampur.
Khalid berkata, selepas menerima surat pertama dari pemohon, beliau telah mengarahkan Setiausaha Politiknya, Azli Yusof untuk merujuk perkara itu kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengetahui perancangan penggunaan tanah berkenaan sekiranya ada.
Menurutnya, hanya selepas mendapat surat rayuan kedua daripada syarikat sama, barulah pihaknya memohon Exco Tanah Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk mempertimbangkan kelulusan permohonan tender.
Itupun, jelasnya, selepas mendapat gambaran yang jelas mengenai status tanah tersebut dari PTG dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Pada November 2019, selepas satu lagi rayuan daripada syarikat sama, Khalid menulis nota kepada ketua setiausaha negara dan datuk bandar Kuala Lumpur: “Harap dapat diluluskan kerana selaras dengan wawasan KWP”.
Permohonan Khalid tersebut dilakukan ketika kerajaan PH berkata tidak mahu mengamalkan budaya menulis surat sokongan oleh ahli politik bagi permohonan tender atau projek.
“Saya sendiri tidak ada dalam Exco Tanah Kuala Lumpur dan Exco ini bukan di bawah kuasa saya. Oleh itu wajar saya memberikan pandangan mengenai cadangan pembangunan ini secara bertulis.
“Saya mencadangkan agar permohonan ini diluluskan kerana ia selaras dengan wawasan Kementerian Wilayah Persekutuan ketika itu iaitu untuk menghasilkan satu juta rumah mampu milik di Kuala Lumpur.
“Ini kerana, rumah mampu milik diperlukan oleh golongan berpendapatan rendah dan menengah di Kuala Lumpur kerana harga rumah biasa adalah mahal dan tidak mampu dimiliki oleh golongan ini yang ramai bekerja di Kuala Lumpur,” ulasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, pada November 2019, selepas satu lagi rayuan daripada syarikat sama, Khalid menulis nota kepada ketua setiausaha negara dan datuk bandar Kuala Lumpur: “Harap dapat diluluskan kerana selaras dengan wawasan KWP”
Portal MalaysiaNow menulis, Khalid meluluskan tender, walaupun Pakatan Harapan (PH) berkata tidak mahu mengamalkan budaya menulis surat sokongan oleh ahli politik.
Bagaimanapun Khalid menjelaskan, perkataan yang lebih sesuai digunakan mungkin adalah ‘mohon dipertimbangkan’ atau ‘diharap pihak tuan meneliti perkara ini’, namun ayat ‘harap dapat diluluskan kerana’ tidak juga merupakan arahan.
“Ianya berbeza dengan ‘sila luluskan’,” tegasnya.
Beliau menegaskan, permintaanya agar tanah tersebut diluluskan adalah untuk keperluan memenuhi wawasan mendapatkan 1 juta rumah mampu milik di Kuala Lumpur.
“Tanpa tanah, di manakah rumah ini hendak dibina?
“Exco yang akan mempertimbangkan permohonan ini juga bukan di bawah bidang kuasa saya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan kerana ia terletak terus di bawah KSN. Dan tidak mungkin seorang Menteri mengarah KSN yang lapor diri pada Perdana Menteri.
“Oleh itu, permohonan tetap perlu melalui proses biasa termasuk syarat-syarat yang ingin dikenakan serta harga yang perlu dibayar untuknya.
“Saya hanya menyokong permohonan ini atas sebab projek yang ingin dilaksanakan,” ujar Khalid lagi.