Malaysia Dateline

Khalid jawab dakwaan Menteri Wilayah isu Stadium Bolasepak dan KLFA

Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad menegaskan beberapa kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang tidak tepat berhubung KLFA dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur semasa berucap di Parlimen.

Pihak KLFA ingin membuat penjelasan terhadap kenyataan-kenyataan tersebut.

A) “Sebelum ini Stadium Bolasepak Kuala Lumpur diserahkan kepada KLFA”.

KLFA mempunyai perjanjian menguruskan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur dengan DBKL, bermula daripada 27 Jan 2005 sehingga 27 Jan 2021.

Mengikut perjanjian ini, KLFA dibayar RM 14,000 sebulan sebagai yuran pengurusan Stadium. Yuran pengurusan tersebut digunakan untuk kerja-kerja pembersihan kawasan luar dan dalam, termasuk Kawasan sekeliling Stadium. Pada masa yang sama bayaran penyewaan Stadium, samada yang Berjaya diperolehi oleh DBKL atau KLFA, akan dibuat kepada DBKL. KLFA hanya layak menerima 10% daripada jumlah sewaan yang diterima oleh DBKL.

Maka Dakwaan Stadium “diserah pada KLFA” adalah tidak benar kerana KLFA sekadar mengurusakan Stadium dari sudut penyelenggaraan basic sambil sewa dan pendapatan lain adalah hampir kesemuanya milik DBKL.

B) “DBKL terpaksa membayar kos penyelenggaraan yang berjumlah RM 1,786,564 kepada KLFA”.

Kenyataan DBKL terpaksa membayar kos penyelenggaraan yang berjumlah RM 1,786,564 kepada KLFA adalah tidak benar. KLFA hanya menerim RM 14,000 sebulan sebagai yuran pengurusan Stadium. Oleh itu, jumlah keseluruhan yang diterima KLFA adalah sebanyak RM 168,000 setahun.

Jumlah RM 1,786,564 untuk penyelenggaraan Stadium, sekiranya ada sekalipun, bukan merupakan bayaran kepada KLFA tetapi mungkin kepada kontraktor penyelenggaraan.

C) “DBKL telah sewakan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur kepada Tetuan Arcadin Services Sdn. Bhd, syarikat yang memiliki 50% saham penswastaan pasukan KL United FC”.

Selepas perjanjian tamat pada 27 Jan 2021, KLFA dikenakan sewaan untuk setiap perlawanan sebanyak RM 6,000 manakala RM 1,000 untuk setiap sesi latihan.

Maka KLFA membuat permohonan kepada Datuk Bandar DBKL untuk meneruskan perjanjian pengurusan Stadium pada pada 20 Dis 2020 asalnya dan sekali lagi pada 21 Jan 2021 dengan cadangan bayaran sewa kepada DBKL sebanyak RM 200,000 setahun selama 20 tahun.

Pihak KLFA telah berjumpa sendiri dengan Datuk Bandar DBKL pada 2 Feb 2021 dan membentangkan kertas cadangan berhubung penyewaan tersebut di mana penyelenggaraan Stadium menjadi tanggungjawab KLFA sepenuhnya.

Pada masa yang sama, segala pendapatan, samada dari penyewaan atau pengiklanan, adalah milik KLFA. Beliau menunjukkan minat terhadap cadangan yang dikemukakan.

Namun begitu, keputusan yang diambil oleh DBKL adalah menyerahkan penyewaan Stadium kepada Arcadin Services Sdn.Bhd. yang telah menawarkan sewa sebanyak RM 300,000 setahun, dengan syarat-syarat yang hampir sama, beberapa hari selepas KLFA membuat tawarannya.

Syarikat Arcadin Services Sdn. Bhd. tidak memiliki 50% saham penswastaan pasukan KL United FC seperti didakwa kerana bayaran untuk pemilikan saham tersebut belum lagi diselesaikan.

KLFA berpandangan bahawa sebagai persatuan bolasepak Kuala Lumpur, ia sepatutnya diberikan keutamaan dalam persoalan penyewaan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. Memberikan syarikat swasta yang berstatus Sendirian Berhad untuk menyewanya adalah kurang sesuai.

Walaubagaimanapun, KLFA mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada DBKL yang membenarkan persatuan bolasepak Kuala Lumpur untuk berada di Stadium untuk mengharungi Liga Super Malaysia/Piala Malaysia musim 2021.