Khalid jawab isu Gelombang Hitam: “Mereka tolak tawaran bersama kerajaan, sekarang mereka dengki”

Oleh KIM SYAZIE

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad mengulas berkenaan khabar yang bertiup mengatakan himpunan Gelombang Hitam bakal digerakkan menjelang usul percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Perikatan Nasional adalah pihak awal yang terlebih dahulu diberi peluang oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan.

Namun mereka menolak tawaran itu dan kemudian menuding jari kepada PH sebagai penipu selepas membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional.

“Baru-baru ini saya telah menerima beberapa mesej berhubung dengan perhimpunan gelombang hitam pada 18 Disember yang dianjurkan Perikatan Nasional atau penyokong mereka bertujuan menolak Anwar dan Kerajaan Perpaduan atas alasan Anwar menipu rakyat.

“Menipu pasal apa? Pasal telah bergabung dengan Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan?

“Ini bukan soal satu penipuan kerana ianya memang sesuatu yang terpaksa dilakukan untuk membentuk kerajaan.

“Hakikatnya PN telah diberikan tawaran bersama terlebih dahulu tapi menolak dengan alasan tidak mahu bersama dengan PH kerana adanya Anwar dan DAP,” katanya dalam satu rakaman video yang dikongsi di Facebook.

Khalid berkata, pada ketika itu PN mementingkan matlamat dan perjuangan politik mereka lebih daripada persoalan perpaduan negara dan kestabilan kerajaan.

Maka apabila PH membentuk kerajaan bersama BN, mereka mengatakan PH ini berbohong, kata Khalid.

Beliau turut mengingatkan berkenaan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu menyaksikan tiada mana-mana parti memperoleh majoriti 112 sokongan untuk membentuk kerajaan.

Justeru parti dengan kemenangan terbesar perlu membentuk kerajaan dengan parti-parti lain yang bersedia untuk bergabung.

Pengerusi PN, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin menolak untuk bergabung, menyebabkan Yang di-Pertuan Agong memberi saranan kepada BN untuk bersama-sama PH di dalam Kerajaan Perpaduan.

“PN telah menolak tawaran untuk bersama, maka sekarang ini bila nampak PH bersama dengan BN, naik dengki lah kot.

“(Dia sedar) tersilap langkah tempoh hari maka sekarang ini nak tuduh Anwar menipu, Zahid menipu sedangkan penipu terbesar adalah Mahiaddin dan Pas yang sengaja nak putar belit dan membohongi rakyat sedangkan hakikatnya ini adalah keadaan yang terpaksa kita tangani,” katanya lagi.

Baca juga: Protes terhadap Anwar? Ramai tertanya betul ke ‘Gelombang Hitam’ bakal digerakkan 18 Disember ini?

Baca juga: Kerajaan Perpaduan kukuh, dijangka menang undi percaya majoriti besar