Khalid kecewa dengan ‘rakannya’ berhubung isu Taman Rimba Kiara

Khalid kecewa dengan ‘rakannya’ berhubung isu Taman Rimba Kiara

Menteri Wilayah Persekutuan meluahkan rasa kecewa apabila ‘rakannya’ aktivis Datuk S Ambiga dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel tidak cuba berjumpa dengan beliau berhubung pembangunan Taman Rimba Kiara.

Khalid Samad berkata, Ambiga dan Cynthia sepatutnya berjumpa dengan beliau sebelum mengeluarkan kenyataan dan kritikan tidak berasas kepada media.

“Saya tak tahu berapa banyak kali kamu bertemu dengan penduduk Taman Rimba Kiara, tetapi kamu tidak langsung berjumpa dengan saya walaupun seminit.

“Bagaimana kamu boleh beri komen setelah mendengar hanya sebelah pihak sahaja. Sepatutnya dengar dua-dua belah pihak. Lainlah kalau kamu nak berjumpa tapi saya tolak dan tak mahu jumpa. Ini sangat memalukan,” katanya dalam satu sidang media khas di Kementerian Wilayah Persekutuan.

Semalam, Hannah Yeoh berkata, taman rekreasi di Taman Rimba Kiara tidak wajar diganggu untuk projek pembangunan di kawasan berkenaan yang kini di bawah kendalian Menteri Wilayah, Khalid Samad.

Katanya, pihaknya sama sekali tidak membantah penduduk rumah panjang untuk mendapatkan penempatan baharu mereka, tetapi projek itu tidak wajar diperluas sehingga ke dalam kawasan taman.

Susulan kenyataan Khalid bahawa projek pembangunan itu akan dibentang pada mesyuarat kabinet untuk dipertimbangkan, Hannah berkata pihaknya kini sedang menunggu perkara itu untuk dilaksanakan.

“Namun sebelum kes ini dibawa ke kabinet, ia sepatutnya perlu melalui input daripada Peguam Negara, iaitu Tommy Thomas terlebih dahulu.. kita mahu Tommy melihat perkara ini kerana mempunyai konflik kepentingan,” katanya lagi.

Khalid juga memaklumkan bahawa projek Taman Rimba Kiara itu akan di bawa ke Kabinet dan sememangnya semua pihak kementerian termasuk Tommy akan memberi pandangan.