Khalid kekal MP Shah Alam, Mahkamah Rayuan Syarie tolak rayuan Jais

Mahkamah Rayuan Syariah Selangor menolak permohonan kebenaran merayu oleh pendakwaraya syarie terhadap hukuman denda RM1900 yang dijatuhkan kepada ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.

Peguam Khalid, Dr Zulqarnain Lukman berkata, mahkamah mendapati pendakwa syarie gagal untuk mengemukakan persoalan undang-undang yang menyentuh kepentingan awam.

Keputusan itu dicapai panel hakim yang dipengerusikan Datuk Aidi Moktar.

Keputusan mahkamah ini juga secara tidak langsung mengekalkan kedudukan Khalid sebagai ahli parlimen Shah Alam dan beliau pastinya boleh bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Pada 19 Jan 2017, Khalid Samad didenda RM2,900 atau tiga bulan penjara selepas didapati bersalah mengajar tanpa tauliah di sebuah surau di Klang pada 2011.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Syariah Selangor Salehan Yatim kemudiannya mengurangkan jumlah denda kepada RM1,900, yang bermakna Khalid tidak hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen dan masih boleh bertanding pada PRU14.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagaimanapun mengemukakan rayuan bagi mengenakan hukuman lebih berat yang memungkinkan Khalid hilang kelayakan sebagai ahli parlimen dan tidak layak bertanding dalam PRU akan datang.

Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan seseorang memegang jawatan sebagai wakil rakyat jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000.

7.6
OVERALL SCORE
: 8.0
4 user votes x 7.5
CATEGORIES
TAGS