Malaysia Dateline

Khalid kembali bertemu penghuni Perumahan Awam Seri Perlis hari ini

Dua hari selepas perjumpaan dengan kira-kira 300 penduduk Perumahan Awam Seri Perlis, bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad hari ini bertemu semula dengan para penduduk berhubung isu pemilikan rumah terbabit.

Mereka adalah penduduk yang sudah mendiami unit kediaman di kawasan itu selama lebih 40 tahun dan menuntut agar diberikan pemilikan seperti yang dijanjikan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1980.

Khalid dalam ciapan di Twitter hari ini berkata, penduduk Perumahan Awam Seri Perlis 2 memohon agar beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Shah Alam memperjuang usaha mereka untuk membeli unit rumah dengan harga munasabah.

“Berbincang dengan penghuni Perumahan Awam Seri Perlis 2 selepas sidang media Isnin lepas.

“Mereka mohon saya perjuangkan untuk mereka membeli unit masing-masing. Bukan nak secara percuma, tetapi dengan harga yang munasabah. Maklumlah, dah sewa selama 40 tahun, beranak cucu di situ..,” katanya.

Khalid pada Isnin lalu memberi jaminan akan membawa wakil penduduk di sini bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyuarakan isu penduduk Seri Perlis 2 yang melibatkan 302 unit rumah dan 100 peratus penduduk Melayu.

Kata Khalid, ini adalah peluang bagi kerajaan baharu ini membuktikan untuk menolong orang-orang Melayu.

Ketika ini, ura-ura mengatakan kawasan perumahan itu bakal dirobohkan untuk pembangunan semula.

Gambar dikongsi di Twitter Khalid