Malaysia Dateline

Khalid kemuka usul tergempar bincang pengambilan tanah Kampung Sungai Baru

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat melalui Kamar Khas petang semalam bagi membincangkan isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu.

Usul itu dikemukakan selepas kerajaan membenarkan pihak swasta menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi memaksa pemilik tanah di situ menyerahkan tanah kepada mereka secara paksa dengan pampasan.

Menurut Khalid, usul itu dikemukakan di bawah perkara 18 (1) dan (2) kerana ia sedang berlaku dan perlu dibincangkan segera.

Dewan Rakyat telah berbincang perkara ini melalui Kamar Khas semalam di mana Khalid telah mengemukakan usul itu dengan disokong oleh ahli parlimen Lembah Pantai dan dijawab oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Khalid ketika mengemukan usul itu berkata, kerajaan perlu adil dalam pengambilan tanah ini dan jangan membiarkan pihak pemaju yang kaya raya berunding dengan pemilik tanah yang miskin.

“Jika ini berlaku perundingan yang tidak setara akan berlaku dan kerajaan kena campur tangan. Jika ini bedrlaku, pemilik akan menjadi sayur kepada pemaju. Jadi kena win – win,” kata Khalid yang merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan yang menjaga kepentingan Kampung Bharu sebelum ini.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH itu, beliau tidak bertujuan mempolitikkan isu ini tetapi ia perlu dibincang dengan terperinci agar tidak menzalimi mana-mana pihak.

Beliau juga mengakui perlunya pembangunan semula bandar dan di mana-mana sahaja berlaku perkara ini.

“Tetapi apa yang saya nak tegaskan ialah tugas kerajaan hendaklah memastikan golongan susah atau marhain tidak diambil kesempatan oleh pemaju apabila dilakukan urban redevelopment ini.

“Ini kerana apabila berlakunya pembangunan semula kawasan bandar, kawasan yang hendak dibangunkan adalah kawasan yang diduduki oleh golongan susah bukan golongan yang sudah duduk dalam kondominium yang mewah.

“Bila golongan lemah, bila didatangi pemaju yang banyak duit, mereka boleh diambil ksesempatan kalau tidak dilindungi kepentingan mereka.

“Oleh kerana itu, kerajaan mesti faham peranannya,” kata Khalid.

Oleh itu, katanya, terma yang diberikan oleh pemaju tidak boleh berat sebelah dan kepentingan pemilik hendaklah dijaga.

“Yang kedua harga yang munasabah dan adil,” katanya.

Bagi Khalid apabila diserahkan rundingan antara pemaju dengan pemilik, ia adalah rundingan yang tidak setara.

“Kerana golongan yang susah berhadapan dengan pemaju yang kaya raya. Oleh itu kerajaan mesti memantau untuk menjaga kepentingan golongan yang lemah itu lebih-lebih lagi sekiranya golongan ini bumiputra yang duduk dalam bandar yang tidak ramai.

“Dah tidak ramai apabila didatangi pemaju dan sebagainya mereka boleh diambil kesempatan, jadi sayurlah bagi pemaju,” kata Khalid dalam sidang di Kamar Khas petang semalam.