Khalid lancar kempen ‘Daulat Tuanku’, tolak dakwaan PH mahu jatuhkan raja

Oleh BORHAN AHMAD

Khalid menolak dakwaan PH mahu jatuhkan Raja-raja Melayu.

Menteri Wilayah Khalid Samad hari ini melancarkan kempen pelekat kenderaan ‘Daulat Tuanku’ sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Yang Dipertuan Agung.

Kempen yang dibuat Persatuan Warisan Negara itu dilancarkan oleh Khalid di lobi Menara DBKL hari ini.

Selepas sahaja majlis selesai, Khalid menampalkan sendiri pelekat itu di kereta rasmi beliau.

Ketika berucap, Khalid sama sekali menolak dakwaan Umno bahawa Pakatan Harapan mahu memansuhikan sistem beraja untuk dijadikan sistem republik.

Bahkan, kata khalid, sebenarnya kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum inilah yang cuba menghakis kuasa raja.

“Antara tidak melayan permintaan bertulis Majlis Raja-raja agar kerajaan memberikan penjelasan berhubung dengan 1MDB.

“Surat telah dihantar tetapi dia (Datuk Seri Najib) buat tak tahu dengan alasan ia sub judice kerana sedang dibicarakan di mahkamah dekat Amerika,” kata Khalid.

Khalid juga berkata, kerajaan BN telah meminda akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan memberikan hak untuk mengisytiharkan dharurat kepada Perdana Menteri bukan lagi Yang Dipertuan Agung.

“Bila dah jatuh nak kata orang lain pula cuba nak jatuhkan raja-raja,” kata Khalid menyindir Umno.