Khalid lawat mangsa lif jatuh, sumbang bantuan awal

Khalid lawat mangsa lif jatuh, sumbang bantuan awal
Khalid mendengar taklimat awal dari DOSH (JKKP) yang sedang menjalankan siasatan punca insiden ini berlaku.

Sebaik menerima laporan kejadian lif jatuh di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, hari ini Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad bersama pegawainya serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melawat beberapa keluarga mangsa yang terlibat.

Khalid Samad melawat mangsa insiden lif terhempas di PPUM

Kira-kira jam 9.30 pagi tadi beliau tiba di flat berkenaan untuk mengetahui sendiri status terkini dan apa tindakan susulan yang akan diambil ketika ini.

Khalid juga berpeluang mendengar taklimat awal dari DOSH (JKKP) yang sedang menjalankan siasatan punca insiden ini berlaku.

Sejurus selepas itu, beliau terus ke Hospital PPUM untuk melawat mangsa yang dimasukkan ke wad bagi mendapatkan rawatan lanjut serta memberikan sumbangan dan mempastikan kos rawatan mereka dibiayai.

Semalam, seramai lapan mangsa mengalami kecederaan selepas lif sebuah pangsapuri PPR Kampung Kerinchi, Pantai, ibu negara terhempas dari tingkat lima bangunan itu.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, seramai 9 individu menaiki lif berkenaan namun sebaik tiba di tingkat 5, lif tersebut mengalami kegagalan sebelum terhempas.

Kejadian tersebut turut mendapat perhatian Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan yang mahu tindakan segera diambil dan akan berbincang dengan 11 kontraktor yang dilantik DBKL untuk menyelenggara lebih 500 lif di ibu negara.