Malaysia Dateline

Khalid menghadap Sultan Selangor

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini.

“Pertemuan yang berlangsung selama sejam ini, di samping untuk beramah mesra sempena Hari Raya Aidilfitri turut menjadi wadah bertukar pandangan dan buah fikiran di antara Baginda dan Tan Sri Abdul Khalid,” dipetik dari Facebook rasmi Selangor Royal Office.

Khalid mendakwa dipecat daripada PKR pada 2014 kerana enggan menggunakan wang kerajaan negeri untuk kepentingan parti.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Guthrie Bhd itu mendakwa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu beliau menggunakan wang kerajaan negeri untuk mengadakan program dan kempen PKR.

Khalid, 74, dikatakan tidak bersetuju dengan keputusan enam tahun lalu melantik Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.