Malaysia Dateline

Khalid minta menteri baru terus bantu miskin bandar, semarakkan ekonomi

Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu diminta meneruskan program-program untuk kepentingan rakyat yang telah dirancang oleh kementerian itu sebelum ini.

Bekas menterinya, Khalid Samad dalam sidang medianya hari ini menyenaraikan program yang sedang berjalan dan telah dirancangkan oleh beliau dan kementerian serta agensi di bawahnya sebelum ini.

“Saya berharap menteri Wilayah Persekutuan yang baru meneruskan agenda untuk membantu miskin bandar, menyemarakkan aktiviti ekonomi dan menjadikan Kuala Lumpur dan Putrajaya peneraju smart city,” kata Khalid dalam sidang media di pejabatnya dekat Shah Alam itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan mengumumkan senarai kabinetnya jam 5 petang ini selepas beliau mempersembahkan nama-sama itu kepada Yang Dipertua Agong pagi ini.

Dalam sidang media itu, Khalid memberitahu media, beliau telah mempersiapkan Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk menghadapi tiga program utama tahun ini dengan membersih dan mengindahkannya.

Ketiga-tiganya adalah Tahun Melawat Malaysia 2020, Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) dan persidangan APEC hujung tahun ini.

Antaranya beliau telah menambahkan bajet RM10 juta untuk pengambilan kakitangan tambahan untuk menjaga kebersihan dan pengindahan Kuala Lumpur dan RM50 juta untuk menyediakan projek-projek kecil untuk kontraktor kelas G1.

DBKL telah mengambil kakitangan itu manakala 200 kontraktor G1 telah mendapat 200 projek kecil di Kuala Lumpur dalam satu sessi cabutan kontrak baru-baru ini.

Untuk Putrajaya, Khalid berkata, kementerian beliau telah memutuskan untuk menyambung semula projek pembinaan Monorail yang telah dirancang ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi PM 4 dahulu lagi.

“Kita juga telah bersetuju untuk membina Menara Putrajaya. Saya berharap menteri yang baharu dapat meneruskan projek ini,” kata khalid.

Untuk Labuan, Khalid berharap projek Jambatan Labuan ke Menumbok, Sabah akan diteruskan kerana Kementerian Kerjaraya dan kerajaan Negeri Sabah sudah bersetuju untuk melaksanakannya.

Khalid juga telah melancarkan program Mikro Kredit untuk warga Wilayah Persekutuan bagi membantu para peniaga kecil mendapatkan modal.

Ia dilaksanakan dengan kerjasama antara Kementerian Wilayah Persekutuan, Yayasan Wilayah Persekutuan dan Bank Islam.