Khalid nak saman Berita Harian putar belit perbahasan parlimen

Khalid nak saman Berita Harian putar belit perbahasan parlimen

Muak dengan sikap akhbar arus perdana yang memutarbelitkan pendirian Parti Amanah Negara (Amanah)  berhubung usul rang undang-undang persendirian berkaitan Akta 355 yang dibentangkan Presiden Pas di Dewan Rakyat petang semalam, tindakan undang-undang bakal diambil terhadap akhbar Berita Harian.

Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad mengakui sudah menghubungi peguam dan mengarahkan dikeluarkan surat tuntutan ke atas penerbit akhbar berkenaan.

“Amanah akan gunakan surat tuntutan itu untuk minta mereka memohon maaf kepada saya dan Amanah di muka hadapan, sama seperti yang mereka buat hari ini. Atau (jika gagal) mereka akan disaman,” katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Tambah beliau, surat tuntutan itu akan dihantar selewat-lewatnya Selasa depan.

Berita Harian dalam laporannya hari ini menyiarkan tajuk utama “Kerajaan beri PAS laluan; DAP, Amanah bantah” merujuk kepada usul persendirian yang dibawa Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang semalam.

Usul yang berada di penghujung senarai itu didahulukan atas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Rashid Shirlin yang juga ahli parlimen Papar.

Khalid berkata, beliau tidak membantah usul tersebut sebaliknya mempersoalkan bagaimana rang undang-undang persendirian itu boleh mengetepikan usul lain dibawa kerajaan.

“Saya tak bantah malah sokong tafsiran yang dibuat oleh Speaker Tan Sri Pandikar (Amin Mulia) yang membenarkan usul itu dibaca atau dibentang.

“Saya cuma nak tahu apa pertimbangan yang dibuat kerajaan apabila dia mendahulukan usul persendirian (mengatasi) semua urusan kerajaan dalam senarai perkara yang hendak dibahaskan,” katanya.

Selain Berita Harian, turut mendakwa Amanah menentang usul itu adalah ahli parlimen Kuala Nerus yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas.
 
Sehingga kini Khalid belum membuat apa-apa ulasan mengenai kenyataan Datuk Dr Khairudin Aman Razali dalam kenyataannya itu.

TAGS