Malaysia Dateline

Khalid pejuang rakyat yang perlu menang di Titiwangsa, kata Anwar

Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Khalid Abdul Samad perlu dimenangkan dalam pilihan raya umum kali ini di Titiwangsa kerana dia adalah pejuang rakyat.

“Sebenarnya, tidak ada dalam jadual saya untuk ke Titiwangsa ini. Tetapi hari ini saya singgah di Kenduri Rakyat di Desa Pandan hari ini.

“Ini kerana, calon kita di sini, Khalid ini orang penting. Dia pejuang rakyat dan perlu menang

“Saya sudah kenal lama Khalid. Kalau dia nak cakap dia lepaskan saja. Masa saya pengerusikan mesyuarat Pakatan Harapan, kalau Khalid tak datang saya lega.

“Tetapi kita dalam perjuangan ini, kita perlukan pemimpin macam Khalid ini, sebab dia berani suarakan hak rakyat,” kata Anwar dalam majlis Kenduri Rakyat di Desa Pandan hari ini.

Penduduk Desa Pandan yang memenuhi majlis ceramah Anwar bersama Khalid Samad hari ini.

Bagi Anwar, pilihan raya kali ini bukan sahaja untuk melantik Khalid sebagai wakil rakyat atau Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Saya tak terkesan dengan itu semua. Tetapi yang penting bagi saya adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat selepas kita menang nanti.

“Barangan mahal, gaji tak naik dan pelbagai kesusahan rakyat lagi yang kita kena selesaikan,” kata Anwar dalam ucapannya di majlis itu.

Selain Khalid, turut serta datang meraikan majlis itu adalah Drs Sulaiman Muhamad, bekas wakil rakyat Titiwangsa dari Umno.

Bekas MP Titiwangsa dari Umno, Drs Sulaiman Muhammad (kiri sekali) turut serta di majlis hari ini.

“Saya dengan Khalid mempunyai pandangan yang sama. Bukan soal untuk menjadi menteri atau perdana menteri tetapi kemudian rompak harta rakyat.

“Berapa banyak Muhyidin ambil semasa menjadi perdana menteri. Pas pun sokong dia. Habis dalil-dalil digunakan untuk menghalalkannya.

“Gerakan pun takpa, hudud entah ke mana manakala kita ini dikecam dengan fitnah yang amat dahsyat,” kata Anwar di pentas itu.

Menurut Anwar, rakyat patut bertanya apa kejayaan Mahiaddin semasa beliau menjadi perdana menteri.

“PKP terpanjang. Orang-orang di sini tentu cari makan pun susah. Warung-warung tutup, kedai tutup. Beratus ribu rakyat yang hilang mata pencarian.

Apa yang hebat sangat Covid-19 di Malaysia sehingga PKP paling panjang di dunia,” kata Anwar.

BACA JUGA Selepas 70 profesor tampil, giliran 102 NGO Melayu juga sokong Anwar jadi PM

JUGA Pas bayar lebih RM2 juta sejak 2016 akibat kalah saman fitnah, ini senarai 16 fitnah yang dikeluarkan Pas

DAN JUGA #KitaBoleh, Anwar ‘trending’ di Twitter kurang 48 jam PRU15