Khalid Samad mangsa ‘autoriti pentadbiran agama’?

Hukuman denda atau penjara yang dijatuhkan Mahkamah Rendah Syariah Klang terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menimbulkan persoalan sama ada wujud unsur ‘menggunakan agama untuk kepentingan politik’.

Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof dalam satu kenyataan berkata, apa yang menimpa Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah Nasional perlu diberi perhatian kerana hukuman yang dikenakan ke atas beliau bukan berpunca daripada tindakannya ‘mengajar agama tanpa tauliah’.

Sambil menyifatkan Khalid sebagai mangsa autoriti agama, Dr Mujahid menegaskan perlu ada garis pemisah di antara isu agama dan autoriti pentadbiran agama agar individu yang didakwa benar-benar mendapat keadilan.

“Mengajar tanpa tauliah adalah satu kesalahan, tujuannya untuk mengelakkan sesuatu fahaman ‘sesat’ daripada disebarkan. Sesat itu pula mesti disiasat terlebih dahulu di mana sesatnya dan apakah orang yang mengajar itu menganut secara sah fahaman ‘sesat’ tertentu.

“Fahaman sesat mestilah konsisten pula dengan usaha menyebarkannya kepada awam. Adakah YB Khalid Samad ‘sesat’ dalam pengertian Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) dan cuba menyebarkannya di masjid dan surau di Selangor ajaran sesatnya itu?” soal beliau.

Mahkamah Rendah Syariah Klang 19 Jan lalu menjatuhi hukuman denda RM2,900 ke atas Khalid atas kesalahan “mengajar agama tanpa tauliah”.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Surau Taman Seri Sementa, Klang, pada 16 Ogos 2011.

Khalid juga boleh dipenjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda.

Beliau bagaimanapun membayar denda dan akan mengemukakan rayuan.

Dr Mujahid menambah, adalah amat wajar dipastikan sama ada Khalid ‘mengajar agama’ atau sekadar memberi taklimat atau penerangan tertentu terhadap isu semasa yang menjadi kepentingan umat Islam seperti isu Palestin.

“Inilah yang saya sebutkan selama ini, perlu dbezakan antara isu agama dan autoriti pentadbiran agama.

“Agama akan senantiasa memelihara maqasid syariah dan mengelak dari ia dieksploitasi tetapi autoriti pentadbiran agama boleh sahaja terdedah kepada kepentingan pihak tertentu untuk diambil tindakan atas nama agama,” jelasnya.

Kes membabitkan Khalid juga, tambah beliau amat berkait rapat dengan usaha untuk meningkat hukuman mahkamah syariah melalui pindaan Akta 355.

Jika RUU 355 diluluskan, jelas beliau hukuman lebih berat akan berpotensi menimpa kepada individu yang tidak bersalah dari sudut agama tetapi berpotensi menjadi ‘salah’ dari sudut politik dengan menggunakan nama agama.

Mengulas isu yang sama, Naib Presiden Amanah Ustaz Hasanuddin Mohd Yunos menasihati Khalid supaya bersabar.

“Semoga Allah memuliakan YB Khalid Samad yang berucap melaporkan keadaan di Gaza pada 2011 di salah sebuah surau, Klang.

“Anda adalah pejuang Masjidil Aqsa dan yang di sekitarnya, termasuk Gaza.

“Anda baru kembali dari Gaza yang diserang sebelum itu. Anda bukan mengajar tafsir, fekah, usuluddin atau mengeluarkan sebarang fatwa,” katanya dalam satu nukilan.

Menurut Hasanuddin, Khalid hanya berkongsi penderitaan saudara-saudara muslim di Gaza setelah secara berani menjejakkan kaki ke bumi bergolak itu.

“Semoga Allah bersama anda ketika anda bersama perjuangan Masjidil Aqsa dan apa-apa di sekelilingnya,” ujar beliau.

Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah Raja Bahrin Shah pula melahirkan perasaan terkejut dengan hukuman yang diterima Khalid.

“Beliau telah di jemput oleh ahli surau untuk menceritakan pengalaman lawatan beliau ke Gaza dan bukan berkuliah agama. Bukankah Islam menuntut kita berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman?  

“Tindakan sebeginilah yang membuat orang ramai hilang keyakinan ke atas kebijaksanaan mahkamah syariah dan majlis agama hari ini,” tegasnya. 

Beliau turut kesal kerana pihak yang mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan, menghalalkan darah penganut Islam dan mengkafirkan sesama muslim ketika berkuliah di masjid tidak diambil tindakan penguasa agama.

Malah tambahnya, terdapat mufti yang secara terang-terangan menuduh parti politik tertentu sebagai ‘kafir harbi’ dan ‘wajib diperangi’.

“Adakah mereka yang bertauliah ini boleh mengisytiharkan apa sahaja dan memiliki kekebalan?” soal beliau.

Khalid didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Selangor.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hukuman itu tidak menjejaskan kedudukan Khalid sebagai ahli parlimen memandangkan beliau masih boleh mengemukakan rayuan.

Menurut Khalid, kejadian itu berlaku ketika beliau baru pulang dari Gaza.

“Saya balik dari Gaza, Palestin pada tahun 2011 dan saya telah dijemput ke surau untuk memberi ceramah mengenai perjalanan saya ke Gaza.

“Ceramah itu diberikan di surau dan ketika itu orang Jais menunggu saya, mereka mengambil video ucapan saya dan mendakwa saya mengajar tanpa tauliah.

“Saya memberitahu mereka bahawa saya bercakap tentang perjalanan saya, tetapi mereka masih berkata ia merupakan kesalahan,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)