Malaysia Dateline

Khalid Samad turun padang lawat mangsa banjir

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad meninjau keadaan rumah mangsa banjir kilat malam tadi di Batu 3 dan kuarters kakitangan Masjid Negeri di Seksyen 10.

Menurutnya, hampir 100 rumah ditenggelami banjir selepas hujan lebat di sebelah petang dan mangsa terbabit dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Batu 3.

“Pihak kami turut menyediakan 500 pek nasi berlauk dan air mineral di kawasan Padang Jawa,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Dalam masa, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional menyatakan penghargaan kepada pihak pengurusan Masjid Jamek Batu 3 atas inisiatif bagi keselesaan mangsa banjir.

“Jutaan terima kasih kepada pihak Masjid Jamek Batu 3 kerana telah memasang karpet bagi keselesaan mangsa banjir yang dipindahkan dan kepada semua para petugas yang banyak membantu melancarkan urusan,” katanya.

ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi turut meninjau kawasan perumahan Seksyen 10 yang terjejas banjir.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam kenyataan semalam memaklumkan semakan pihaknya melalui pihak JPS Selangor mendapati kadar hujan yang diterima di kawasan Shah Alam adalah 148 milimeter (mm) dalam tempoh lima jam melebihi paras biasa.

Dalam masa sama, MBSA menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan keselamatan anak kecil, dengan tidak menghampiri longkang atau bermain di kawasan air deras.

Orang ramai diminta menghubungi Bilik PANTAS MBSA di talian terus 03-55015811 jika berlaku bencana seperti banjir dan tanah runtuh.

Semalam, hujan lebat yang mula turun sejak jam 4.30 petang menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Shah Alam termasuk Seksyen 4, Seksyen 9, Seksyen 13, Seksyen 25 (Taman Sri Muda) dan Kampung Kebun Bunga dinaiki air.