Khalid sangkal dakwaan wujud konflik kepentingan isu Taman Rimba Kiara

Khalid sangkal dakwaan wujud konflik kepentingan isu Taman Rimba Kiara

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad menyangkal dakwaan kononnya wujud konflik kepentingan antara jawatannya sebagai menteri Wilayah Persekutuan dan pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berhubung isu projek Pembangunan Taman Rimba Kiara.

Beliau menegaskan, dakwaan itu sengaja direka bertujuan menggagalkan rancangan untuk membangunkan projek berkenaan.

Jelasnya lagi, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) adalah badan yang melakukan kerja-kerja kebajikan antaranya seperti program Back to School, bantuan kepada mereka yang hendak membeli rumah tetapi tidak mendapat pinjaman daripada pihak bank dan sebagainya.

“Kita tidak mempunyai saham atau kepentingan peribadi.. apa jua wang yang diperolehi YWP, hasil daripada program atau projek yang diberikan kepada YWP oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau mana-mana lagi sumber, kesemuanya digunakan untuk kebajikan.

“Jadi dalam hal ini, memang tiada isu konflik kepentingan. Ketetapan dalam perlembagaan YWP juga ada menyebut, pengerusinya haruslah menteri Wilayah Persekutuan.

“Untuk menentukan bahawa YWP tidak menyalah gunakan kedudukannya dengan mendapat sumbangan-sumbangan daripada DBKL atau pun mana mana agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), maka pengurusannya semestinya dikuasai oleh mereka yang daripada KWP,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Khalid berkata Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) tidak seharusnya membantah pelaksanaan projek yang akan memanfaatkan penghuni rumah panjang.

“Bagi saya projek ini perlu dijalankan supaya penghuni rumah panjang selepas 38 tahun mendapat keadilan… dan tanah untuk Taman Rimba Kiara itu banyak lagi..

“Dalam isu ini, kenalah bertolak ansur dan cari satu keadaan di mana kita mendapat win-win situation (situasi menang-menang).

“Pemaju juga sudah berkompromi sebanyak 50 peratus, dia beli 12 ekar tanah.. dan daripada 6 ekar tanah, 4 ekar sudah dipulangkan kepada penduduk TTDI.

“Saya tak boleh senang-senang menggunakan RM150 juta untuk membayar balik kepada pemaju.. ia sesuatu yang merugikan,” katanya.