Malaysia Dateline

Khalid ‘sekolahkan’ Najib tentang maksud broker

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad hari ini ‘menyekolahkan’ Najib Razak tentang maksud broker selepas disoal sinis bekas Perdana Menteri tersebut.

Khalid mengaitkan panggilan tersebut dengan ahli perniagaan, Jho Low yang terlibat dengan penyelewengan dana pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Memanggil Najib sebagai ‘Jib’ dan ‘Jibby’ ketika Najib pula memanggil Khalid sebagai ‘Lid’, suami Rosmah Mansor itu diingatkan tentang skandal kleptokrasi membabitkan Jho Low yang menjadi antara faktor kejatuhan BN dua tahun lalu.

“Maksud ‘broker’ adalah orang seperti Jho Low. Takkan Jib tak tahu? Bukankah Jib dikatakan banyak gunakan khidmat beliau untuk bantu Melayu khususnya di Parlimen Pekan?” bidas Khalid.

Pengarah Komunikasi AMANAH itu bagaimanapun memberitahu hanya dalam kes membabitkan Azli Yusof berbeza kerana broker tersebut mendakwa mewakili bekas setiausaha politiknya.

“Tetapi ianya tak benar. Bukan seperti kes Jho Low yang dikatakan amat rapat dengan Jibby. Saya sertakan gambar sekiranya lupa (gambar atas),” katanya dipetik dari blog Khalid Samad.

Beliau turut memberitahu Azli ialah Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang merupakan jawatan bukan eksekutif dan hanya berfungsi menasihati Datuk Bandar dalam isu-isu dasar.

“Lembaga tersebut tidak memberi kelulusan untuk apa-apa permohonan,” katanya sebagai reaksi terhadap pertanyaan Najib.

Untuk rekod, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengaitkan Jho Low sebagai perancang utama kecurian wang melebihi AS$4 bilion (RM16.7 bilion) daripada 1MDB.

Wang itu digunakan bagi membeli sebuah jet peribadi, kapal layar mewah, rumah agam, berlian dan penerbitan filem Hollywood.

Deretan soalan Najib kepada Khalid ekoran siasatan polis terhadap Azli.

Khalid juga mengakui bahawa beliau yang melantik Azli menjadi Ahli Lembaga DBKL kerana Ketua AMANAH Kawasan Shah Alam itu berpengalaman sebagai Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama dua sesi.

Azli juga, jelasnya, merupakan seorang profesional lulusan kejuruteraan dari sebuah universiti di Amerika Syarikat (AS).

“Dengan pengalaman dan ilmunya, dia (Azli) dipercayai boleh menasihati Datuk Bandar DBKL dalam banyak persoalan,” katanya.

Menjawab soalan ringkas Najib berbunyi, “Lid ahli parlimen kawasan mana?”, Khalid memberitahu beliau ialah Ahli Parlimen Shah Alam sejak 2008.

“Kawasan 80 peratus pengundi Melayu yang telah menangkan saya dengan majoriti sebanyak 30,000 lebih pada 2018.

“Shah Alam kawasan Melayu dan mereka inginkan wakil dan kepimpinan yang bebas rasuah,” bidas Khalid lagi.