Khalid selesai 5 kes utama selepas turun padang dalam masa sehari

Khalid selesai 5 kes utama selepas turun padang dalam masa sehari
Khalid meninjau kedudukan bangunan enam tingkat yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan tetapi mendapat DO dari DBKL.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad membuat lima keputusan penting kelmarin selepas melawat lima projek yang bermasalah di Kuala Lumpur.

Lawatan yang dibuat sepanjang pagi sehingga tengahari itu dibuat bagi melihat sendiri masalah yang berbangkit sejak sekian lama dengan diiringi oleh pegawai-pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur.

Paling kemuncak adalah beliau melawat bangunan enam tingkat dan gerai durian di Medan Imbi yang dibina di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran dari pemilik tanahnya.

Selain pegawai penguatkuasa, ramai pegawai polis menyertai tinjauan ini memandangkan risiko keselamatannya.

Setelah berbincang, kata sepakat telah dicapai oleh Khalid dan para pegawainya agar isu ini diselesaikan dengan segera.

Bangunan enam tingkat ini dibina oleh sebuah syarikat di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran PTG tetapi yang peliknya ia mendapat Arahan Pembangunan (DO) dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di bawah pentadbiran sebelum ini.

PTG telah mengeluarkan notis kepada pemilik bangunan ini agar mengosongkan tanah mereka namun pemiliknya telah menyaman balik PTG dan juga DBKL.

Sehingga kini, permohonan injunksi oleh pemilik bangunan untuk menghalang sebarang tindakan oleh PTG telah ditolak oleh mahkamah.

Khalid diberikan penerangan tentang kedai yang dibina atas bahu jalan dan menghalang kenderaan bomba keluar masuk.

Di Jalan Pantai Baru pula, Khalid dan pasukannya telah meninjau sebuah restoran yang didapati dibina di atas tempat parkir DBKL dan menghalang laluan keluar kenderaan Bomba yang terletak di sebelahnya.

Setelah berbincang dengan pemilik, pegawai PTG dan DBKL, Khalid juga telah membuat keputusan apa yang perlu dilakukan ke atas bangunan ini.

Di Bukit Jalil, Khalid telah meninjau kedudukan sebuah sekolah yang sentiasa menghadapi masalah apabila ibu bapa dan penjaga menghantar dan mengambil anak mereka ke dan dari sekolah.

Ekoran itu, Khalid telah mengarahkan jalan sekelilingnya disiapkan segera oleh pemaju atau DBKL akan membuatnya segera dan bilnya akan dihantar kepada pihak pemaju.

Di Setapak, sebuah deretan kedai yang dibina di atas tanah PTG juga dikunjungi Khalid dan rombongan.

Mereka telah membuat keputusan dan dimaklumkan kepada pemilik bangunannya manakala DBKL dan PTG akan mengambil tindakan segera ekoran keputusan itu.

Di Lembah Pantai, berhadapan dengan Pejabat Ahli Parlimennya, Khalid telah mengunjungi sebuah bangunan sementara yang dibina namun sangat merbahaya kepada orang ramai.

Di situ Khalid dan rombongan juga melihat bagaimana sebuah jalan sengaja ditutup dan kambing juga dipelihara di hadapan sebuah rumah yang mendatangkan bau busuk kepada jiran-jirabn sekelilingnya.