Malaysia Dateline

Khalid senarai lapan pencapaian agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan

Penutup bagi tahun 2019 menyaksikan pencapaian Kementerian Wilayah Persekutuan yang menekankan enam teras utama sebagai panduan bagi lapan agensi di bawah kementerian tersebut.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, antara kejayaan terbesar di bawah Kementerian KWP adalah kaji semula 97 transaksi tanah DBKL dengan pendapatan tambahan dalam bentuk tunai dan nilai tanah yang dikembalikan semula sebanyak RM481 Juta.

Beliau berkata, pengkajian semula projek dan kontrak yang meragukan di mana rundingan kontrak tanah kali ini perlu mengikut peraturan yang disediakan Jabatan Penilaian Hartanah seperti kampung baharu.

Khalid turut menyenaraikan kejayaanya dalam meningkatkan mutu demokrasi di bawah agensi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui pembentukan Majlis Menteri.

Katanya, penglibatan Ahli Parlimen yang dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Kecil DBKL sekaligus dapat memaksimakan penglibatan mereka dalam proses membuat keputusan

“Sebelum ini, Ahli Parlimen tidak terlibat dalam DBKL dan kementerian untuk menentukan suara warga kota. Penubuhan Majlis Menteri ini adalah satu usaha untuk mengiktiraf peranan Ahli Parlimen yang selama ini terpinggir dari DBKL dan kementerian,” katanya dalam sidang media pencapaian Kementerian Wilayah Persekutuan, di Menara Seri Wilayah, hari ini.

Sementara itu, penyediaan lebih 300 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam berjaya disewakan di bawah harga pasaran dengan pengenalan Microhousing turut diperkenalkan kepada golongan muda dan bujang dengan kadar sewaan RM100 sebulan.

Kejayaan lain di bawah agensi sama, termasuk pengambilalihan perkhidmatan Bas Percuma Go KL dari MOT dengan mengembangkan perkhidmatan Last Mile yang terdiri dari empat laluan bas dengan tambahan tiga laluan perkhidmatan 1st Mile.

“Awal 2020, akan ditambahkan tiga laluan 1st Mile lagi. Kajian masalah lalulintas dan kaedah penyelesaian sedang dilaksanakan serentak dengan kajian Deraf Pembangunan Bandaraya Kuala Lumpur 2020,” katanya

Selain itu, di bawah agensi Perbadanan Putrajaya pula, menyaksikan Putrajaya dijadikan sebagai perintis Bandar Pintar dengan adanya Blueprint Bandar Pintar merangkumi 93 pelan tindakan.

Seterusnya, Blueprint masyarakat sejahtera pula memperlihatkan 121 pelan tindakan yang mensasarkan program merakyatkan aktiviti dan program komuniti, termasuk 147 program dengan kerjasama penduduk MPPWP Putrajaya.

“Di bahagian agensi Perbadanan Labuan pula, adanya peningkatan ekonomi sektor pelancongan sehingga 60 peratus berdasarkan maklum balas persatuan dan pemilik hotel WP Labuan,” katanya.

Manakala, turut disenaraikan sebagai kejayaan, adalah agensi Pejabat Tanah dan Galian WPKL yang menggantikan cukai petak dengan cukai tanah, dan mengenalpasti tanah milik PTGWP dan Kerajaan Persekutuan.

Majlis sukan wilayah persekutuan pula berjaya Mempertingkatkan kesukanan dan mutu atlet dengan pemberian anugerah pengiktirafan dan sumbangan kepada atlet cemerlang.

Untuk rekod, teras yang digunapakai dalam kelapan-lapan agensi tersebut, merangkumi Wilayah Bersih, Keselamatan Awam, Pengangkutan Awam Efisien, Sosio Ekonomi Mampan, Persekitaran Hijau, dan Komuniti Inklusif yang bertepatan dengan tema ‘Inisiatif Wilayah Peduli, Harapan Dipenuhi’.